Hoe Yean mampu tambah kilauan emas di Sukan SEA

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Perenang lelaki negara, Khiew Hoe Yean dilihat berada di landasan tepat untuk menjelmakan pingat emas ketiga secara berturut-turut di temasya Sukan SEA Thailand 2025, hujung tahun ini.

Jurulatih skuad renang kebangsaan, Eric Anderson menyuarakan keyakinan berkenaan selepas Hoe Yean menutup tirai Kejohanan Terbuka Malaysia 2025 di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil semalam dengan merangkul lapan emas.

Anderson berkata, atlet berusia 23 tahun itu sudah membuktikan kemampuan dalam dua edisi temasya sebelum ini sekali gus menjadikannya sebagai prospek utama untuk acara 200 meter (m) gaya bebas selain melakar kilauan emas ketiganya di Thailand.

“Dia sudah membuktikannya (dua edisi lalu). Dia memenanginya dua kali berturut-turut. Untuk sekarang kita akan cuba melakar hatrik tapi kita tidak tahu bagaimana persaingan di sana nanti.

“Apapun, dia sudah membuktikan kemampuannya walaupun harus mengimbangi antara pelajaran dan renang. Dia sudah mula menyesuaikan diri dengan kitaran ini sejak Januari lalu dan dia membuktikan dirinya mampu melakukannya.

“Untuk itu, kami gembira untuk yang akan datang,” kata Anderson.

Di Terbuka Malaysia 2025, Hoe Yean yang mewakili Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur memenangi acara 100m gaya bebas, 100m kuak lentang, 200m gaya bebas, 400m gaya bebas, 200m kuak lentang, 200m rampaian serta 4x100m rampaian dan 4x200m gaya bebas lelaki.

Malah, dia turut memperbaharui rekod kebangsaan dalam acara 200m rampaian individu lelaki menerusi catatan masa 2 minit 03.29 saat (s) sekali gus mengatasi rekod lama 2:03.77s dilakukannya di kejohanan sama pada 2023.
-BeritaHarian