Holgado ‘kaki gelecek’

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Penyokong bola sepak negara sudah pasti teruja selepas penyerang America de Cali, Rodrigo Holgado dijangka memperkuat skuad Harimau Malaya sebagai pemain berdarah kacukan terbaharu.

-Advertisement-

Penyokong bola sepak negara bakal disajikan ‘gelecekan maut’ selepas pemain berusia 29 itu dilihat memiliki kemahiran yang baik sekali gus mampu menjadi senjata paling tajam di bahagian serangan skuad kebangsaan.

Menerusi laman sesawang terkenal whoscored.com yang sering menganalisis kekuatan dan kelemahan pemain bola sepak, ia menyenaraikan kekuatan utama pemain itu adalah menerusi gelecekan.

Malah, whoscored.com turut menggariskan beberapa corak permainan yang dimiliki penjaring terbanyak Liga Primera B Chile 2018 itu yang mana sudah pasti dapat membantu skuad bimbingan Peter Cklamovksi selepas ini.

-Advertisement-

Antara corak permainan Holgado adalah pemain itu gemar menggelecek sekali gus memberi gambaran dia mampu menghuru-harakan pertahanan lawan selain bermain hantaran pendek.

Selain itu, ‘aset tambahan’ dimiliki pemain itu adalah keupayaan untuk memberi ancaman daripada situasi bola mati.

Bagaimanapun, beberapa kelemahan ketara ditunjukkan pemain itu yang mungkin sedikit mendatangkan kerisauan sebagai seorang penyerang.

Laman sesawang itu menyatakan pemain itu kurang baik memegang bola selain kelemahan daripada sentuhan penyudah serta pertembungan di udara.
-BeritaHarian