Ibu selepas bersalin dilayan bagaikan puteri sepanjang berpantang 44 hari

Estimate Reading Time: 3 minutes

KUALA LUMPUR: Bagi wanita yang baru melahirkan anak, sudah pasti mereka mahukan penjagaan kesihatan yang mampu memulihkan keadaan fizikal dan mental terutamanya sepanjang tempoh berpantang.

-Advertisement-

Ia boleh dikatakan proses ‘eksklusif’ untuk memulihkan diri termasuk ‘membaiki’ segala kerosakan dalam tubuh, antaranya akibat kehilangan darah, pengecutan rahim, mengendurkan semula urat saraf yang tegang selain mengembalikan keseimbangan hormon.

Peredaran masa menyaksikan tradisi berpantang turut melalui evolusi, dan kini, ia bukan lagi menjadi tanggungjawab ahli keluarga seperti ibu sendiri atau ibu mentua untuk menjaga anak atau menantu yang baru bersalin.

-Advertisement-

Mereka yang berkemampuan mempunyai pilihan berpantang di rumah dengan bantuan penjaga bertauliah atau menjalani proses itu di pusat penjagaan ibu berpantang yang semakin banyak beroperasi kerana permintaan yang tinggi.

Kos untuk berpantang di pusat penjagaan ini mungkin boleh mencecah sehingga puluhan ribu ringgit.

Berkongsi pengalaman, suri rumah Fara Liyana Idris yang juga ibu kepada tiga anak, berkata ada perbezaan yang ketara antara berpantang sendiri di rumah dan di pusat penjagaan.

“Ketika melahirkan anak pertama empat tahun lalu, saya memilih untuk berpantang di rumah. Walaupun mak mentua dan mak saya sendiri datang tolong, saya tidak boleh duduk diam kerana ada sahaja kerja rumah yang saya hendak siapkan, sehinggakan ada masa saya mengalami sakit-sakit badan.

“Ketika mengandungkan anak kedua, dua tahun lepas, saya putuskan untuk berpantang di pusat penjagaan ibu berpantang bertaraf hotel lima bintang selama sebulan.

“Pusat ini menyediakan penjagaan penuh sepanjang di situ dan saya tidak perlu membuat sebarang kerja berat, sebaliknya hanya tumpukan kepada proses memulihkan diri,” katanya.

Berpuas hati dengan pengalaman itu membuatkan Fara Liyana, 32, mendapatkan khidmat serupa selepas melahirkan anak ketiga pada Ogos lalu, dan kali ini dia memilih untuk “berpantang” selama 44 hari di sebuah pusat penjagaan ibu berpantang.

“Selain bayi dijaga oleh bidan dan jururawat bertauliah di sini, kami turut dijaga seperti seorang ‘puteri’ apabila diberi makanan berkhasiat khusus untuk berpantang selama enam kali sehari, selain urutan tradisional seperti bertungku daripada tukang urut profesional.

“Selain itu, suami dan anak-anak juga dibenarkan tinggal di sini, diberi layanan yang sama seperti hotel lima bintang di luar sana. Malah saya tidak perlu buat kerja rumah seperti memasak dan membasuh baju kerana segala terjaga sepanjang tempoh berpantang. Secara keseluruhan kami sangat berpuas hati,” katanya.

Penjagaan mental dan fizikal

Buat kebanyakan ibu berpantang, menjadi amalan biasa untuk mereka menumpukan perhatian terhadap penjagaan fizikal terutamanya bagi mengembalikan bentuk badan asal sebelum hamil.

Antara yang dilakukan termasuk bertungku, urutan tradisional, pengambilan jamu dan mengambil makanan berkhasiat sepanjang tempoh berpantang.

Bagaimanapun, setiap rawatan dan prosedur berpantang perlu dijalankan secara sistematik dan teratur bagi mengelakkan sebarang kemudaratan seperti jangkitan kuman pada luka dan pendarahan teruk selain turut menjejaskan kesihatan mental ibu berpantang.

Pakar Obstetrik dan Ginekologi (O&G) PrimaNora Medical Centre, Datuk Dr Nor Ashikin Mokhtar, berkata wanita yang tidak merancang rawatan selepas bersalin yang berkesan boleh mengalami beberapa risiko dan komplikasi, antaranya jangkitan pada luka bagi kes pembedahan caesarean dan episiotomi yang boleh menyebabkan pendarahan teruk atau hipertensi tanpa sedar.

Tekanan emosi juga boleh berlaku yang menyebabkan ibu baharu bersalin mengalami kemurungan dan kegelisahan.

“Tanpa bimbingan dan sokongan, ibu berkenaan mungkin menghadapi masalah dengan penyusuan yang membawa kepada masalah seperti bekalan susu yang tidak mencukupi atau mastitis (pembengkakan tisu payudara yang disebabkan oleh jangkitan atau susu yang tersisa pada tisu susu) , ” katanya ketika menjadi ahli panel dalam forum bertajuk ‘Ketenangan Minda Ibu Berpantang: Pusat Jagaan Sebagai Pemulihan Mental dan Fizikal’ , di sini.

Menurut beliau, kebanyakan ‘wanita yang pertama kali melahirkan anak’ sangat mengharapkan ahli keluarga untuk menjaga mereka di rumah kerana tidak ada pengalaman untuk menguruskan bayi dan juga diri.

“Namun, kadangkala jika yang menjaga itu tidak ada pengalaman dan tidak kena pada caranya ataupun terlepas pandang, ia boleh mendatangkan mudarat kepada si ibu.

“Antara kesilapan biasa dilakukan ialah meremehkan tempoh pemulihan dan ramai ahli keluarga beranggapan bahawa ibu bersalin akan cepat sembuh selepas bersalin.

“Bagaimanapun, tempoh pemulihan boleh mengambil masa berminggu-minggu bahkan ada yang berbulan-bulan, malah turut memberi kesan kepada tubuh badan pada jangka masa panjang (jika tidak kena cara penjagaan).

Justeru, tempoh masa itu amat penting untuk penyembuhan,” katanya.
– Bernama