JAKARTA: Kerajaan Indonesia mengumumkan pelantikan Leftenan Jeneral (B) Djaka Budhi Utama sebagai ketua baharu unit Kastam dan Eksais negara itu.
-Advertisement-
Pelantikan yang diumumkan Menteri Kewangan Indonesia, Sri Mulyani Indrawati, mendapat kritikan umum kerana beliau sebelum ini pernah didapati bersalah atas tuduhan menculik aktivis hak asasi manusia.
Menurut laporan media tempatan sebelum ini, Budhi Utama dan beberapa anggota Pasukan Mawar, sebuah unit khas tentera, didapati bersalah menculik dan ‘menghilangkan’ aktivis hak asasi secara paksa pada 1990-an, ketika pemerintahan Presiden Suharto.
Beliau dijatuhkan hukuman penjara setahun empat bulan oleh mahkamah tentera pada tahun 1999 tetapi difahamkan tidak pernah menjalani hukuman penjara berkenaan.
Sebaliknya, Budhi Utama terus berkhidmat dalam angkatan tentera walaupun telah disabitkan kesalahan.
Sri Mulyani turut melantik Bimo Wijayanto, sebagai ketua baharu pejabat cukai.
-Advertisement-
Bimo adalah penjawat awam yang sebelum ini bertugas di pejabat cukai, Kementerian Pelaburan dan Pejabat Ketua Staf Presiden,
Aktivis hak asasi manusia menyuarakan kebimbangan terhadap pelantikan Budhi Utama, kerana sebelum upacara pelantikannya, beliau masih dianggap sebagai anggota tentera aktif.
Di bawah undang-undang Indonesia, anggota tentera dilarang memegang beberapa jawatan awam, termasuk dalam Kementerian Kewangan.
Bagaimanapun, ketika upacara pelantikan itu, satu pembentangan profil menyatakan bahawa Budhi Utama kini berpangkat Leftenan Jeneral Bersara, yang membolehkan beliau memegang jawatan kerajaan itu.
Menurut dua sumber, pelantikan ke jawatan tertinggi dalam Kementerian Kewangan itu menunjukkan peranan tentera yang semakin berkembang dalam pemerintahan awam demokrasi Indonesia.
Perkara itu dibimbangi oleh kumpulan hak asasi manusia sebagai satu langkah menuju ke arah pemerintahan kuku besi.
-REUTERS
-BeritaHarian