KUALA LUMPUR: Seorang pempengaruh media sosial dihadapkan ke dua Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan merogol dan melakukan amang seksual fizikal terhadap dua remaja perempuan bulan lalu.
-Advertisement-
Muhammad Iman Hazriq Azizan, 23, mengaku tidak bersalah selepas dua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Tasnim Abu Bakar dan Mohd Kafli Che Ali.
Di hadapan Hakim Tasnim, tertuduh didakwa merogol seorang remaja perempuan berusia 15 tahun enam bulan di dalam bilik sebuah kondominium di Wangsa Maju antara pukul 1 tengah hari hingga 8 malam, 22 Januari lalu.
Di hadapan Hakim Mohd Kafli, Muhammad Iman Hazriq pula didakwa melakukan amang seksual fizikal ke atas seorang remaja perempuan berumur 16 tahun bagi tujuan seksual di tempat, masa dan tarikh yang sama.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Noor Shakira Aliana Alias, menawarkan jaminan RM15,000 bagi setiap pertuduhan dengan syarat tambahan: menyerahkan pasport kepada mahkamah, melapor diri sebulan sekali di balai polis berhampiran, dan tidak mengganggu saksi pendakwaan, mangsa serta keluarga mangsa sehingga kes selesai.
-Advertisement-
Peguam Mohamad Akmal Mohd Taufik, yang mewakili Muhammad Iman Hazriq, memohon supaya jaminan dikurangkan atas alasan anak guamnya masih bujang, menanggung ibu bapa dan dua adik yang masih bersekolah, serta mempunyai pendapatan RM2,000 sebulan sebagai jurujual kedai kasut.
Hakim Tasnim dan Mohd Kafli membenarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan seperti dipohon pihak pendakwaan.
Kedua-dua mahkamah menetapkan 4 Mac dan 2 April ini untuk sebutan kes.
Pertuduhan dikenakan mengikut Seksyen 375(g) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
-BERNAMA
-Berita Harian