Jakarta bandar besar paling tercemar di dunia

Estimate Reading Time: 2 minutes

JAKARTA: Ibu negara Indonesia, Jakarta, menjadi bandar besar paling tercemar di dunia menurut firma pemantau kualiti udara IQAir.

-Advertisement-

Pencemaran udara dianggarkan menyumbang kepada tujuh juta kematian pramatang setiap tahun dan dianggap oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai satu-satunya risiko kesihatan alam sekitar yang terbesar.

Jakarta dan kawasan sekitarnya membentuk megalopolis diduduki kira-kira 30 juta orang dan berada di senarai teratas bandar tercemar lain termasuk Riyadh, Doha dan Lahore sepanjang minggu kerana kepekatan zarah kecilnya yang dikenali sebagai PM2.5.

Ia mendahului kedudukan senarai data pencemaran IQAir, syarikat berpangkalan di Switzerland yang hanya memantau kualiti udara bandar utama.

Jakarta kerap merekodkan paras PM2.5 iaitu ‘tidak sihat’, yang boleh menembusi saluran pernafasan dan menyebabkan masalah pernafasan, melebihi paras yang disyorkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Presiden Indonesia, Joko Widodo, berkata beliau merancang untuk menangani tahap pencemaran dengan mengurangkan ‘beban Jakarta’ ketika negara itu bersedia untuk memindahkan ibu negara ke Nusantara, tahun depan.

Beliau juga berkata rangkaian kereta api metro yang dirancang di seluruh Jakarta ‘mesti disiapkan’ untuk mengurangkan pencemaran.

Penduduk mengadu bahawa pencemaran disebabkan oleh asap industri, kesesakan lalu lintas dan loji jana kuasa arang batu menjejaskan kehidupan serta kesihatan mereka.

Seorang penduduk, Anggy Violita, 32, berkata beliau perlu memakai pelitup muka sepanjang masa.

-Advertisement-

“Badan dan muka saya menderita. Minggu lalu seluruh keluarga saya sakit selama seminggu dan doktor memberitahu saya harus berada dalam rumah,” tambah ibu dua anak itu.

Pada 2021, mahkamah memutuskan untuk menyokong tuntutan difailkan oleh aktivis dan rakyat terhadap kerajaan, mengarahkan Jokowi menangani pencemaran udara, selain memutuskan bahawa beliau dan pegawai atasan lain cuai dalam melindungi penduduk.

Indonesia berjanji untuk menghentikan pembinaan loji jana kuasa arang batu baharu mulai 2023 dan menjadi neutral karbon menjelang 2050.

Namun, di sebalik bantahan daripada aktivis, kerajaan didakwa sedang mengembangkan loji arang batu Suralaya di pulau Jawa, salah satu yang terbesar di Asia Tenggara.

Menurut Greenpeace Indonesia, 10 loji jana kuasa arang batu beroperasi dalam radius 100 kilometer (62 batu) dari ibu negara.

– AFP

– BH


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373