Jangan buat PRU-15 ketika musim banjir – Muhyiddin

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) bertegas dengan pendirian Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) tidak wajar diadakan pada tahun ini memandangkan Monsun Timur Laut akan bermula tidak lama lagi dengan banjir dijangka melanda negara terutamanya di negeri Pantai Timur.

-Advertisement-

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin, berkata memilih untuk mengadakan pilihan raya ketika musim banjir akan menjejaskan perjalanan pilihan raya, selain ia menyusahkan rakyat.

Katanya, kerajaan mesti memberi fokus kepada persiapan menghadapi musim banjir, di samping terus memberi tumpuan kepada usaha mempercepatkan proses pemulihan negara pasca pandemik.

“Rakyat sedang terbeban dengan masalah inflasi, kenaikan harga barang dan kejatuhan nilai ringgit, selain proses pemulihan negara yang masih perlahan.

“Penyelesaian kepada permasalahan ini mesti diberikan tumpuan sepenuhnya oleh kerajaan terutama menerusi Bajet 2023.

“Anggota Jemaah Menteri daripada PN sudah diminta untuk menetapkan pendirian ini pada Mesyuarat Jemaah Menteri dan Ahli Parlimen PN juga diminta mengambil pendirian sama,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.

-Advertisement-

BH hari ini melaporkan, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, meminta semua pihak menunggu tarikh sebenar pembubaran Parlimen yang setakat ini belum diputuskan.

Bagaimanapun, minggu lalu, perbincangan lima pemimpin tertinggi atau ‘Top 5’ UMNO dikatakan berjaya mencapai kata sepakat membabitkan isu tarikh pembubaran Parlimen dan PRU-15 yang dijangka dilakukan pada tahun ini.

Berikutan itu pembangkang menyelar sekiranya keputusan itu dilaksanakan dan satu petisyen dilancarkan oleh Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli iaitu Bantah Pru-15 Semasa Banjir: Selamatkan Nyawa Bukan Jawatan yang sehingga kini mencatatkan lebih 21,000 tandatangan diperoleh.

-BH