Jun Hao belum serasi corak latihan Jonassen

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Pemain badminton perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao mengakui masih belum mencapai keserasian sepenuhnya dengan pendekatan latihan diterapkan Pengarah Kejurulatihan Perseorangan negara, Kenneth Jonassen sejak jurulatih dari Denmark itu mula memimpin kem negara awal tahun ini.

-Advertisement-

Jun Hao yang menghuni ranking ke-25 dunia sekali lagi gagal melepasi pusingan awal apabila tewas kepada pemain Ireland, Nhat Nguyen pada aksi pusingan pertama Masters Malaysia 2025, semalam.

Pemain berusia 25 tahun itu tewas 21-10, 8-21, 9-21 di Axiata Arena sekali gus menyaksikan dirinya masih gagal melepasi halangan pusingan awal (pertama dan kedua) dalam tujuh kejohanan berturut-turut musim ini.

“Sudah tentu ini sebahagian daripada proses yang memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan gaya permainannya atau cara pemikirannya.

“Jadi saya akan terus cuba untuk menerapkannya dalam permainan. Dari situ, ada juga tanda-tanda positif, tetapi saya rasa masih perlu lebih banyak masa untuk menyesuaikannya,” katanya yang masih belum 100 peratus cergas daripada kecederaan lengan kanan dialaminya ketika membantu negara di Piala Sudirman di China, bulan lalu.

-Advertisement-

Kecederaan itu juga menyaksikan dirinya terpaksa menarik diri daripada Terbuka Thailand minggu lalu.

Dalam pada itu, mengulas lanjut mengenai perubahan dibawa Jonassen, Jun Hao berkata, ia bukan sekadar membabitkan corak permainan, tetapi turut menyentuh aspek strategi dan rutin harian latihan.

“Ia membabitkan corak latihan yang berbeza, begitu juga strategi yang berbeza. Mungkin dari segi masa latihan juga berbeza, dan itu membuatkan kami berasa terdapat kelainan,” katanya.

Jun Hao selepas ini dijadual menyertai Terbuka Singapura minggu depan dan bertemu pemain China, Lei Lan Xi di pusingan pertama.
-BeritaHarian