Justin perlukan rakan sepelatif bertaraf dunia

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan lelaki negara, Justin Hoh menyambut baik cadangan Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Kenneth Jonassen menjemput pemain bertaraf dunia dari luar negara menjalani latihan bersama skuad kebangsaan.

Menurut Justin, langkah itu memang diperlukan memandangkan skuad perseorangan lelaki negara ketika ini berdepan kekurangan pemain elit berbanding sektor beregu yang lebih stabil dan memiliki beberapa pasangan dalam kelompok terbaik dunia.

“Memang sekarang ini kita kekurangan pemain dalam skuad perseorangan lelaki. Kalau nak dibandingkan dengan sektor beregu, mereka ada ramai pasangan di kelompok terbaik untuk dijadikan sparing (rakan latihan).

“Saya rasa cadangan jurulatih sangat baik sebab kalau kita ada pemain-pemain bertaraf dunia untuk sparing, ia akan bantu saya dan rakan sepasukan tingkatkan tahap permainan. Jadi saya amat teruja dengan perkara ini,” katanya ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM), hari ini.

Justin yang dijadual beraksi di kejohanan Terbuka Amerika Syarikat dan Kanada pada minggu depan turut mendedahkan buat masa ini hanya ada seorang rakan sparing utama dalam kem latihan perseorangan lelaki.

“Sekarang ini hanya ada satu rakan sparing untuk perseorangan lelaki. Jadi memang mencabar.

“Saya tak mahu cakap (latihan) cukup atau tidak, kerana saya percaya dengan apa yang dirancang oleh jurulatih. Jadi saya akan dengar apa yang mereka arahkan dan saya ikut sepenuhnya,” kata pemain ranking 42 dunia yang pernah muncul juara Remaja Asia pada 2022 itu.

Mengulas lanjut, Justin mengakui antara kekurangan dan apa yang diperlukannya ketika ini adalah dari sudut pengalaman dan kekuatan fizikal.

Jonassen sebelum ini pernah memaklumkan bahawa beliau terbuka untuk menerima kehadiran pemain bertaraf dunia dari luar negara untuk menjalani latihan di ABM terutama jika mereka berada di negara ini sebagai persediaan menghadapi kejohanan antarabangsa.

Ketika ini, barisan perseorangan lelaki negara disertai oleh Justin dan Leong Jun Hao yang kini berada di ranking ke-26 dunia manakala Ng Tze Yong masih dalam fasa pemulihan selepas mengalami kecederaan anterior cruciate ligament (ACL) baru-baru ini.
-BeritaHarian

-Advertisement-

-Advertisement-