MONTREAL: Kebakaran besar hutan yang sedang marak di tengah Kanada kini meragut dua nyawa serta memaksa lebih 1,000 orang dipindahkan dari kediaman mereka, menandakan permulaan musim kebakaran yang dijangka mencabar pihak berkuasa.
-Advertisement-
Kanada telah mengalami beberapa siri kebakaran hutan dalam beberapa tahun kebelakangan ini, namun kematian melibatkan penduduk adalah sesuatu yang jarang berlaku.
Pada 2023, yang merupakan musim kebakaran paling teruk dalam sejarah negara itu, satu-satunya kematian yang direkodkan hanyalah dalam kalangan anggota bomba.
Polis Persekutuan Kanada hari ini mengesahkan, dua orang telah meninggal dunia di komuniti kecil Lac-du-Bonnet, yang terletak di wilayah tengah Manitoba, yang kini mengalami cuaca luar biasa panas, kering dan berangin.
Chris Hastie dari Pasukan Polis Berkuda Diraja Kanada (RCMP) memberitahu wartawan bahawa pihak berkuasa “sedar bahawa mangsa terbabit terperangkap dalam kebakaran.”
“Ini kerana keadaan yang sangat ekstrem petang semalam, pasukan kecemasan tidak dapat sampai ke lokasi sehingga pagi ini,” tambah Hastie.
Tiada laporan mengenai orang lain yang masih hilang, kata beliau.
Perdana Menteri Manitoba, Wab Kinew berkata beliau sangat sedih apabila mengetahui kehilangan tragik dua penduduk Manitoba akibat kebakaran hutan.
“Perasaan saya bersama keluarga serta orang tersayang mereka,” katanya dalam satu hantaran di platform X.
Beberapa arahan pemindahan telah dikeluarkan di Manitoba, termasuk di Lac-du-Bonnet, di mana 1,000 orang telah diarah untuk meninggalkan rumah.
-Advertisement-
“Ini adalah satu peristiwa yang amat tragik. Kami adalah sebuah komuniti yang sangat rapat,” kata Loren Schinkel, ketua komuniti yang terletak 100 kilometer di utara Winnipeg, selepas kematian itu disahkan.
Bercakap kepada AFP sebelum ini, Schinkel berkata angin kencang dari arah selatan telah mendorong api merebak pantas, tetapi keadaan kelihatan stabil pada sebelah pagi.
Terdapat 24 kebakaran aktif di Manitoba, lima daripadanya dianggap tidak terkawal, menurut pihak berkuasa.
Satu kebakaran yang berlaku di sempadan Ontario telah merebak meliputi kawasan seluas 100,000 hektar.
“Kami sedang berdepan dengan keadaan yang amat mencabar,” kata Kristin Hayward dari Perkhidmatan Kebakaran Hutan Manitoba, merujuk kepada cuaca yang panas dan kering.
Ketika ini, terdapat 92 kebakaran aktif di seluruh Kanada, termasuk di British Columbia, Alberta, Saskatchewan, Manitoba dan Ontario.
Pihak berkuasa telah memberi amaran bahawa musim kebakaran di Kanada tengah dan barat mungkin lebih teruk daripada biasa disebabkan keadaan kemarau yang menjejaskan beberapa kawasan.
Perubahan iklim telah meningkatkan kesan kejadian cuaca ekstrem di Kanada.
-AFP
-BeritaHarian