Kekuatan mental jadi senjata Soon Huat-Shevon di Seluruh England

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Beregu campuran negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie menegaskan bahawa kekuatan mental menjadi faktor utama kejayaan mereka dalam pusingan pertama Seluruh England, semalam.

-Advertisement-

Meskipun berstatus pilihan utama, pasangan suami isteri itu berdepan laluan sukar apabila menentang pasangan Thailand yang sedang dalam prestasi terbaik, Dechapol Puavaranukroh-Supissara Paewsampran yang meraih gelaran di Terbuka Malaysia dan Masters Thailand tahun ini.

Namun, Soon Huat-Shevon tampil dengan ketahanan mental luar biasa untuk menundukkan pasangan Thailand itu 22-20, 9-21, 21-18 dalam perlawanan sengit selama satu jam di Arena Birmingham.

Shevon mengakui bahawa persediaan mental memainkan peranan penting dalam memastikan mereka kekal fokus sepanjang perlawanan.

-Advertisement-

“Kami tahu bahawa kami perlu mengekalkan fokus dan tidak terburu-buru. Jika kami hilang tumpuan, mereka akan mengambil kesempatan dan mengutip mata dengan mudah.

“Itulah yang berlaku dalam set kedua. Kami terlalu ghairah untuk menamatkan perlawanan dengan cepat, tetapi akhirnya ia memakan diri kami sendiri.

“Dalam set penentuan, kami saling mengingatkan untuk tidak terbawa-bawa dan hanya memberi tumpuan kepada satu mata pada satu masa. Itu yang membantu kami menang,” katanya kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Soon Huat-Shevon dijadual bertemu pasangan Scotland, Alexander Dunn-Julie Macpherson bagi perebutan tiket ke suku akhir, esok.
-BeritaHarian