Kelompok 4 terbaik sasaran Speedy Tigers

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Skuad negara berdepan cabaran getir apabila disasarkan menamatkan kempen Piala Negara-Negara Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) di kelompok empat terbaik pada kejohanan di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil dari 15 hingga 21 Jun ini.

-Advertisement-

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan, Datuk Najmi Razak berkata, sasaran itu berdasarkan persiapan rapi yang sudah diharungi skuad negara termasuk siri perlawanan persahabatan di Korea Selatan dan Australia.

Pada siri jelajah persahabatan di Korea Selatan, skuad bimbingan Sarjit Singh meraih dua kemenangan, dua seri dan satu kekalahan.

“Meskipun menampilkan ramai pemain muda, mereka menunjukkan tahap disiplin dan kecergasan tinggi. Namun, masih terdapat beberapa kelemahan yang sedang kami perbaiki menjelang kejohanan,” katanya ketika sidang media, hari ini.

Pencapaian terbaik Speedy Tigers dalam Piala Negara-Negara FIH adalah pada edisi sulung kejohanan itu pada 2022 apabila menamatkan saingan di tempat keempat tetapi pada edisi 2023, mereka terpaksa berpuas hati di kedudukan ketujuh.

-Advertisement-

Sementara itu, Sarjit memaklumkan bahawa fokus utama ketika ini adalah memperkukuh aspek taktikal pukulan sudut penalti.

“Kami kehilangan beberapa pakar dalam pukulan sudut penalti, tetapi saya yakin pemain muda mampu menggalas tanggungjawab ini. Di Korea Selatan, kami mendapat 23 peluang dan menjaringkan lima gol. Ia satu perkembangan yang positif memandangkan ia disempurnakan pemain baharu,” katanya.

Sarjit turut menekankan pentingnya untuk meminimumkan jumlah pukulan sudut penalti yang diberikan kepada pihak lawan.

“Ini perkara yang perlu kita kawal. Sebab itu kami pilih beraksi di Australia dan Korea Selatan kerana pasukan di sana memiliki gaya permainan yang berbeza,” katanya yang turut memuji bantuan legenda hoki Pakistan, Sohail Abbas, yang membantu melatih pemain dalam pukulan sudut penalti.
-BeritaHarian