Kerajaan negeri tak tanggung kos projek Kereta Kabel Bukit Bendera – PBBPP

Estimate Reading Time: < 1 minute

GEORGETOWN: Kerajaan negeri tidak menanggung kos projek Kereta Kabel Bukit Bendera, di sini, kerana syarikat konsesi bertanggungjawab sepenuhnya membiayai keseluruhan projek dan mengendalikan perkhidmatan kereta kabel.

-Advertisement-

Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang (PBBPP) memaklumkan bahawa pelaksanaan projek kereta kabel melalui model Perkongsian Awam-Swasta (PPP) itu bertujuan meminimumkan beban kewangan kerajaan, dengan operasi kereta kabel akan dipindahkan kepada kerajaan negeri pada akhir tempoh konsesi.

“Projek itu dianugerahkan kepada Hartasuma Sdn Bhd, perintis tempatan dalam industri rel dan syarikat ini diberikan konsesi selama 30 tahun melalui PPP atas asas reka bentuk, kewangan, bina, kendali dan pemindahan (DFBOT) melalui Permohonan Cadangan (RFP) sebagaimana diumumkan pada 14 Disember 2022.

“Doppelmayr Seilbahnen GmbH, peneraju pasaran global dalam bidang ‘ropeway’ yang berpangkalan di Austria pula dilantik membekalkan sistem kereta kabel dan melalui PPP ini, Kerajaan Pulau Pinang tidak menanggung kos projek,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, media tempatan melaporkan sebuah parti politik meminta penjelasan kerajaan negeri berhubung peningkatan kos pembinaan projek sedangkan kemajuan kerja baru mencapai tujuh peratus, dan sama ada kerajaan negeri perlu menanggungnya.

-Advertisement-

PBBPP menjelaskan bahawa pelaburan RM245 juta yang dicadangkan syarikat konsesi adalah berdasarkan anggaran kos projek yang dibuat pada masa RFP dimulakan pada 2021.

Meskipun kos keseluruhan meningkat, PBBPP memaklumkan, Hartasuma tetap komited melaksanakan mengikut pencapaian sasaran projek, membabitkan pembinaan sistem kereta kabel ‘Garden Station’ yang terletak berhampiran Taman Botani Pulau Pinang.

Projek itu juga akan menyaksikan ‘Turn Station’ untuk jajaran kabel, ‘Hill Station’ di atas Bukit Bendera dan tempat letak kereta bertingkat dengan plaza komersial serta kawasan parkir bas.

Kereta Kabel Bukit Bendera ialah projek ikonik strategik di Pulau Pinang yang bertujuan mengimbangi trafik pelancong, terutama ketika musim puncak di Bukit Bendera dan mengurangkan isu trafik yang berlarutan berhampiran Taman Botani Pulau Pinang.
-BeritaHarian