PETALING JAYA: Kes membabitkan seorang remaja lelaki yang didakwa membunuh seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun di tandas sebuah sekolah menengah di Bandar Utama telah dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Shah Alam untuk dibicarakan.
-Advertisement-
Peguam Kitson Foong, yang mewakili tertuduh berusia 15 tahun itu, memaklumkan pemindahan berkenaan dibuat selepas pihak pendakwaan memperoleh kebenaran daripada Jabatan Peguam Negara selaras dengan Seksyen 177A Kanun Prosedur Jenayah.
Menurutnya, kes tersebut dipindahkan daripada Mahkamah Majistret Petaling Jaya ke Mahkamah Tinggi Shah Alam selepas pihak pendakwaan menilai bukti yang ada dan berpuas hati ia mencukupi untuk meneruskan pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan bagi kesalahan membunuh.
Beliau berkata demikian ketika dihubungi media selepas prosiding tertutup yang dijalankan di hadapan Majistret Amira Sariaty Zainal hari ini.
Foong turut memaklumkan tarikh pengurusan kes di Mahkamah Tinggi Shah Alam masih belum ditetapkan dan perbicaraan akan diteruskan selepas pihak pembelaan dimaklumkan mengenai hakim yang akan mengendalikan kes tersebut.
Sebelum ini, pada 16 Januari, Mahkamah Majistret dimaklumkan bahawa laporan psikiatri mengesahkan remaja berkenaan layak untuk dibicarakan. Tertuduh didakwa membunuh rakan sekolahnya antara jam 9.20 pagi hingga 9.35 pagi pada 14 Oktober 2025.
-Advertisement-
Tiada pengakuan direkodkan daripada remaja itu memandangkan kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun hingga maksimum 40 tahun, serta tidak melebihi 12 sebatan sekiranya tidak dijatuhi hukuman gantung.
Namun demikian, Seksyen 97(1) Akta Kanak-kanak 2001 menetapkan hukuman mati tidak boleh dikenakan terhadap individu di bawah usia 18 tahun.
Sebagai alternatif, mahkamah boleh mengarahkan tertuduh ditahan bagi tempoh yang diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong, Raja atau Yang Dipertua Negeri seperti diperuntukkan di bawah Seksyen 97(2) akta sama.
– BERNAMA
-Berita harian