BRUSSELS: Kesatuan Eropah (EU) mengenakan denda 700 juta euro (RM3.4 bilion) ke atas Apple dan Meta kerana melanggar peraturan persaingan digital, sekali gus berisiko mencetuskan kemarahan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.
Langkah itu dijangka menambah ketegangan dalam hubungan yang sudah pun tegang antara blok terbabit dan pentadbiran Trump, ketika kedua-dua pihak sedang mengadakan rundingan perjanjian bagi mengelakkan pelaksanaan tarif besar-besaran oleh AS terhadap EU.
Suruhanjaya Eropah mengenakan denda sebanyak 500 juta euro (RM2.4 bilion) terhadap Apple selepas mendapati syarikat itu menghalang pembangunan aplikasi daripada mengarahkan pengguna ke luar Applikasi Store bagi mendapatkan tawaran lebih murah.
Meta pula didenda sebanyak 200 juta euro (RM996 juta) kerana sistem ‘bayar atau beri kebenaran’ yang digunakan dalam Facebook dan Instagram melanggar peraturan mengenai penggunaan data peribadi.
Ini adalah denda pertama yang dikenakan di bawah Akta Pasaran Digital (DMA) berkuat kuasa tahun lalu, yang memaksa syarikat teknologi gergasi dunia membuka ruang kepada persaingan di pasaran EU.
Menurut Suruhanjaya, jumlah denda boleh ditingkatkan lagi sekiranya Apple dan Meta gagal mematuhi peraturan dalam tempoh 60 hari, dengan kedua-dua syarikat gergasi AS itu berdepan ‘pembayaran penalti berkala’.
EU memperkukuh kerangka perundangan digitalnya dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini melalui dua undang-undang utama iaitu Akta Perkhidmatan Digital (DSA) dan DMA.
Namun, sejak Trump kembali ke Rumah Putih, wujud kebimbangan bahawa EU akan berkompromi dalam penguatkuasaannya.
Trump sering mengecam undang-undang dan cukai digital EU, menyifatkannya sebagai ‘halangan bukan tarif’ terhadap perdagangan, dan ramai ketua eksekutif syarikat teknologi berpihak kepada pentadbirannya.
Beliau sebelum ini mengenakan tarif sebanyak 25 peratus terhadap import keluli, aluminium dan kenderaan dari EU – yang mana Brussels berharap dapat ditarik balik selepas perjanjian dicapai.
Pesuruhjaya Antitrust EU, Teresa Ribera, dalam satu kenyataan berkata denda itu menghantar mesej yang jelas dan tegas, dan menegaskan tindakan penguatkuasaan oleh blok itu adalah ‘tegas tetapi seimbang’.
Beliau turut menafikan sebarang kaitan dengan perang perdagangan Trump, dan menegaskan kepada wartawan ketika lawatan ke Mexico bahawa peraturan persaingan EU ‘terpakai secara saksama kepada semua pihak.’
-AFP
-BeritaHarian