Ketua Anak Negeri dipenjara 30 hari, denda RM10,000 kerana memandu dalam keadaan mabuk

Estimate Reading Time: 2 minutes

TAWAU: Seorang penjawat awam dipenjara 30 hari dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku bersalah memandu di bawah pengaruh alkohol dalam kejadian pada 9 Februari lalu.

Tertuduh, Aidy Matamin, 61, yang berkhidmat sebagai Ketua Anak Negeri di Mahkamah Anak Negeri di sini, membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan kemukakan terhadapnya di hadapan Majistret Don Stiwin Malanjum.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didapati memandu di bawah pengaruh alkohol dua kali ganda melebihi paras dibenarkan di Pejabat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Polis Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, kira-kira jam 12.20 tengah hari, 9 Februari lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 (Akta 333/87) yang memperuntukkan hukuman denda antara RM10,000 hingga RM30,000 dan boleh dipenjarakan sehingga dua tahun selain hilang kelayakan memegang lesen memandu jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, tertuduh yang memandu kenderaan utiliti sukan subkompak (SUV) Perodua Ativa, telah melanggar sebuah Proton Wira dipandu seorang pemuda berusia 28 tahun di Jalan Hill Top – Tanjung Batu, dekat sini, kira-kira jam 11.10 malam pada 8 Februari lalu.

Hasil siasatan, polis mendapati tertuduh disyaki memandu di bawah pengaruh alkohol dan berdasarkan ujian saringan pernafasan menggunakan alat EBA II yang dijalankan terhadap tertuduh mengandungi sebanyak 168 miligram Etil alkohol dalam 100 mililiter darah yang mana telah melebihi had yang ditetapkan iaitu 50 miligram etil alkohol dalam 100 mililiter darah

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya memohon hukuman ringan dengan alasan sudah menyesal dan insaf atas kesalahan yang dilakukan.

Bapa kepada dua anak itu berkata, beliau bukanlah seorang peminum tegar sebaliknya hanya meraikan rakan dari Semenanjung, selain mendakwa ada mengambil ubat paracetamol dan ubat selsema pada tengahari sebelum hari kejadian berkenaan kerana kurang sihat.

Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa Asisten Superintendan Joan Lee, memohon mahkamah menjatuhkan hukuman yang tinggi sebagai pengajaran kepada tertuduh selain mengambil kira kepentingan awam.

Tegasnya, walaupun kejadian kemalangan terbabit tidak melibatkan sebarang kehilangan nyawa atau kecederaan namun perbuatan tertuduh memandu dibawah pengaruh alkohol adalah kesalahan serius yang boleh mengundang risiko kemalangan yang lebih teruk.

Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, mahkamah kemudian turut memerintahkan tertuduh hilang kelayakan untuk memegang lesen memandu selama tempoh dua tahun selain tertuduh juga dikehendaki menjalani tambahan hukuman penjara selama tempoh 30 hari lagi, jika gagal membayar denda berkenaan yang berkuatkuasa daripada tarikh sabitan hari ini.
-BeritaHarian