PUTRAJAYA: Platform dalam talian yang membenarkan penjualan produk terlarang termasuk dadah dicampur dalam cecair vape akan dikenakan tindakan tegas.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil, berkata tindakan sama juga akan diambil ke atas individu yang berbuat demikian.
Katanya, satu mesyuarat bersama Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali akan diadakan dalam masa terdekat untuk membincangkan penguatkuasaan itu.
“Satu mesyuarat akan diadakan dalam masa terdekat untuk membincangkan pelaksanaan penguatkuasaan jualan produk-produk larangan.
“Ia termasuk jualan cecair yang dipercayai mengandungi dadah melalui aplikasi atau platform media sosial dan secara dalam talian,” katanya pada sidang media pasca mesyuarat Kabinet, di sini hari ini.
Semalam, Presiden Majlis Kawalan Tembakau Malaysia (MCTC), Dr M Murallitharan menggesa kerajaan bertindak tegas termasuk menggantung lesen, denda maksimum dan pendakwaan di mahkamah terhadap peniaga vape yang melanggar Akta Kawalan Produk Merokok Untuk Kesihatan Awam 2024 (Akta 852).
Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata, hasil mesyuarat itu akan dibawa ke Jemaah Menteri untuk keputusan lanjut, termasuk tindakan terhadap penjual dan juga platform yang membenarkan penjualan produk demikian.
“Ini menunjukkan keprihatinan Jemaah Menteri dan juga kerajaan terhadap antara perkara yang sedang berlaku dalam masyarakat, di mana produk-produk terlarang dijual secara dalam talian dengan berleluasa,” katanya.
-BeritaHarian
-Advertisement-
-Advertisement-