KUALA LUMPUR, 27 Feb — Tiga pegawai Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) hari ini didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Tinggi, Johor, berhubung kematian kadet Syamsul Haris Shamsudin tahun lalu.
Tertuduh ialah Mejar Mohd Azmi Abu Bakar, Kapten Muhammad Bahauddin Ab Rasid dan Pegawai Waran Mohd Norbuangani Mislan yang mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Hayda Faridzal Abu Hasan.
Berikut ialah kronologi perkembangan utama kes melibatkan kadet PALAPES Universiti Teknologi Malaysia (UTM) itu:
28 Julai 2025
Keluarga dimaklumkan mangsa dirawat di wad kecemasan sebelum disahkan meninggal dunia. Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Tinggi membuka kertas siasatan mati mengejut.
1 Ogos 2025
Ibu mangsa, Ummu Haiman Bee Daulatgun, memohon siasatan polis dijalankan dan mendakwa kemungkinan berlaku perbuatan memukul.
2 Ogos 2025
Menteri Pertahanan, Mohamed Khaled Nordin, mengumumkan penubuhan pasukan petugas melibatkan Kementerian Pertahanan, Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Pendidikan.
4 Ogos 2025
Panglima Tentera Darat ketika itu, Muhammad Hafizuddeain Jantan, memaklumkan prosedur latihan akan diteliti semula bagi mengelakkan kejadian berulang.
11 Ogos 2025
UTM berikrar memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dan menyokong keluarga mangsa.
13 Ogos 2025
Pasukan petugas antara kementerian menyatakan tiada bukti penderaan berdasarkan siasatan awal dan temu bual pegawai serta kadet terlibat.
15 Ogos 2025
Ibu mangsa memfailkan notis usul di Mahkamah Tinggi Shah Alam bagi mendapatkan perintah penggalian semula jenazah untuk bedah siasat kedua dan inkues.
26 Ogos 2025
Mahkamah Tinggi membenarkan penggalian semula jenazah di bawah seliaan Ketua Polis Negara.
-Advertisement-
27 Ogos 2025
Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman mengambil alih kes. Angkatan Tentera Malaysia memberi jaminan kerjasama penuh.
29 Ogos 2025
Jenazah digali semula dan dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat kedua.
30 Ogos 2025
Peguam keluarga mendakwa bedah siasat kedua menemui kecederaan traumatik mencurigakan. Mangsa dikebumikan semula.
6 September 2025
Jabatan Peguam Negara memaklumkan akan mempertimbangkan keperluan inkues selepas laporan penuh polis diterima.
18 September 2025
Mahkamah Tinggi mengeluarkan perintah interim melarang Mohamed Khaled mengulas kes sementara siasatan berjalan.
28 November 2025
Bedah siasat kedua mendedahkan mangsa meninggal dunia akibat kecederaan leher yang teruk ketika masih hidup.
2 Disember 2025
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, M Kumar, mengumumkan kes diklasifikasikan semula sebagai kes bunuh.
27 Februari 2026
Tiga pegawai PALAPES secara rasmi didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Tinggi.
-BeritaHarian