Kubu kebal, serangan balas senjata Dortmund

Estimate Reading Time: 2 minutes

BERLIN: Borussia Dortmund jelas pasukan bukan pilihan pada final Liga Juara-Juara menentang pemenang 14 kali, Real Madrid tetapi kejutan kelab Jerman itu di Eropah musim ini jauh berbeza dengan kempen terumbang-ambing mereka di peringkat domestik.

-Advertisement-

Dortmund kendalian Edin Terzic, yang memburu kejuaraan kedua Liga Juara-Juara selepas kejayaan pada 1997, berakhir mengecewakan di tangga kelima Bundesliga.

Mereka bagaimanapun bertindak lebih konsisten di Eropah sekalipun mempunyai 10 peratus kurang pegangan bola dalam Liga Juara-Juara berbanding di Bundesliga.

Dortmund tidak dibolosi enam kali dalam 12 aksi Liga Juara-Juara musim ini, bergantung harap kepada kekebalan benteng pertahanan dan serangan balas pantas.
Mereka tidak dibolosi ketika kedua-dua aksi separuh akhir menentang Paris Saint-Germain dengan Dortmund menang 2-0 secara agregat.

Terzic beberapa kali menurunkan lima pemain pertahanan dalam pertandingan Eropah sekali gus memantapkan benteng pertahanan menjadi asas perancangan permainan mereka.

Pertahanan tengah Mats Hummels dan Nico Schlotterbeck bertindak cemerlang dalam beberapa bulan terakhir dan Schlotterbeck meraih tempat dalam skuad Jerman bagi menghadapi Euro 2024.

Ia akan menjadi kunci utama Dortmund dengan serangan balas pantas yang boleh dicetuskan pemain sayap pantas Jadon Sancho dan Karim Adeyemi cuba memecah benteng Real.

-Advertisement-

Kelajuan mereka di sayap penting dalam serangan balas Dortmund, menyedari Real akan cuba menguasai pegangan bola lebih banyak dan kelab Jerman itu akan menanti peluang untuk melakukan serangan balas pantas.

Terzic berharap Adeyemi dan Sancho boleh membuka ruang kepada penyerang tengah Niclas Fuellkrug, penyerang terbaik Dortmund dalam pertandingan itu musim ini dengan tiga gol.

Peranan Fuellkrug bagaimanapun bukan sekadar menyumbat gol dengan penyerang Jerman berbadan tegap itu sering menyeret pemain lawan bersamanya sekali gus membuka peluang kepada rakan sepasukannya.

Jadi tidak hairan 12 pemain Dortmund sudah menjaringkan sekurang-kurangnya satu gol dalam Liga Juara-Juara musim ini.

“Saya katakan ‘jangan bermain mengikut suasana, hanya beraksi permainan sebenar’,” kata Terzic.

“Matlamat saya bukan untuk mencuba perkara baharu atau melatih secara berlebihan. Tetapi untuk menggunakan pengalaman yang kami lakukan musim ini dan menyatakan pengalaman mana yang sesuai dengan perlawanan ini.

“Bagi kesebelasan utama kami masih mempunyai beberapa sesi latihan untuk melihat siapa yang akan membuktikan diri mereka. Tetapi kami tahu pemain gantian kami boleh mencetus inspirasi,” katanya.
-REUTERS
-BeritaHarian