Letupan kilang bunga api di China, 9 maut, 26 cedera

Estimate Reading Time: < 1 minute

BEIJING: Letupan di sebuah kilang bunga api di tengah China mengorbankan sembilan mangsa dan mencederakan 26 yang lain, kata media kerajaan hari ini.

-Advertisement-

Kerja menyelamat yang mencabar masih diteruskan sehari selepas tragedi berlaku.

Menurut Radio Kebangsaan China (CNR), letupan berlaku semalam sekitar jam 8.30 pagi di sebuah kilang di sebuah kampung di luar Changde, sebuah bandar di wilayah Hunan.

Setakat 9 pagi tadi, CNR yang memeetik laporan Pusat Kawalan Penyelamat, memaklumkan sembilan orang maut dan 26 lagi cedera.

Lapor CNR, kerja menyelamat di tempat kejadian sedang dijalankan, sambil menyatakan keadaan rumit dan risiko letupan berulang menghalang usaha menyelamat.

Cabaran lain termasuk tapak itu berada di kawasan pergunungan tanpa sumber air yang banyak.

-Advertisement-

“Selama lebih 20 jam kerja menyelamat dilakukan tanpa gangguan dan berterusan. Pasukan penyelamat menggunakan meriam air kawalan jauh untuk memadamkan kebakaran,” kata laporan itu.

Agensi berita negara, Xinhua, hari ini turut memaklumkan bahawa Kementerian Pengurusan Kecemasan menghantar petugas ke Hunan untuk menyelia kerja menyelamat.

“Usaha mesti dibuat untuk mengenal pasti punca letupan secepat mungkin dan mereka yang bertanggungjawab,” katanya.

Kemalangan industri biasa berlaku di China disebabkan peraturan yang tidak jelas dan piawaian keselamatan yang longgar.

Bulan lalu, letupan di loji kimia di wilayah timur Shandong mengakibatkan sekurang-kurangnya lima individu terkorban.

Pada 2015, letupan di gudang mengandungi bahan kimia mudah terbakar di bandar pelabuhan Tianjin mengakibatkan lebih 170 orang maut dan mencederakan 700 yang lain.
-AFP
-BeritaHarian