Pengumuman keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 baru-baru ini jelas menimbulkan perdebatan akademik, terutama apabila menyentuh isu lebih 10,000 calon tidak hadir menduduki peperiksaan berkenaan.
-Advertisement-
Ketidakhadiran calon terbabit menimbulkan persoalan, terutama tanggapan golongan terpencil ini terhadap kepentingan pendidikan dan akademik dalam kehidupan serta untuk menempuhi perjalanan hidup mendatang.
Setiap pekerjaan di dunia ini mempunyai syarat tertentu untuk diisi. Contohnya, bagi pekerjaan seseorang saintis, insan ini harus mempunyai asas sains dan matematik yang baik.
Maka, keputusan SPM mereka harus mempunyai rekod gred cemerlang untuk subjek Fizik, Kimia, Biologi, Matematik dan Matematik Tambahan, di samping cemerlang dalam subjek Bahasa Inggeris dan subjek lain.
Hal yang berbeza jika seseorang mahu menjadi pegawai kerajaan. Pekerjaan ini mungkin memerlukan pencapaian cemerlang dalam subjek seperti Ekonomi Asas dan Matematik. Ini khasnya jika pegawai kerajaan terbabit berperanan dalam kementerian strategik seperti Kementerian Ekonomi.
Justeru, tanggapan bahawa SPM tidak penting adalah pandangan yang lahir daripada pemikiran tidak berwaspada kepada senario sebenar dunia pekerjaan, sama ada pekerjaan makan gaji atau bekerja sendiri.
Seseorang yang mahu bekerja sendiri dan mempunyai perniagaan memerlukan asas subjek bidang yang baik khasnya dalam Ekonomi dan Matematik. Sekiranya mahu berjaya sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat, dia harus menjadi pemimpin syarikat dapat merencanakan strategi ampuh membawa syarikatnya tersohor bukan saja dalam negara, bahkan ke pentas global.
Jika hendak menjadi CEO cemerlang, dia perlu menguasai ilmu statistik bagi membolehkan menganalisis trend ekonomi semasa, khasnya ekonomi digital.
Individu mengabaikan kepentingan pendidikan tidak berupaya maju jauh jika sekadar berniaga di tepian, hanya berpemikiran ‘biasa-biasa’ dan tidak menjangkau pemikiran besar serta mempunyai the big WHY.
Sekolah boleh laksana pemprofilan pelajar
-Advertisement-
Justeru, di bangku persekolahan, lebih banyak inisiatif perlu digerakkan bagi membentuk kesedaran lebih besar terhadap literasi pekerjaan. Cakupan literasi pekerjaan ini harus merangkumi aspek penguasaan asas ilmu, kemahiran dan sikap diperlukan dalam mencapai cita-cita pekerjaan diinginkan.
Sekolah boleh membuat pemprofilan pelajar untuk literasi pekerjaan sesuai dengan pencapaian semasa mereka. Di sinilah, pelajar yang ditanggapi sebagai ‘berisiko’ seperti gagal dalam hampir semua subjek, boleh disediakan peluang lain yang dapat menjadikan mereka berperanan dalam sisi berbeza.
Contohnya, walaupun gagal dalam akademik, namun pelajar terbabit didapati berbakat dalam lukisan atau pembaikan kenderaan, maka dirinya perlu dipastikan mengambil subjek seni lukisan atau memasuki kolej vokasional bagi membolehkannya mengikuti subjek berkaitan pembaikan kenderaan.
Literasi pekerjaan juga boleh dilaksanakan dengan memanfaatkan kelab dan persatuan di sekolah. Kelab dan persatuan ini boleh disusun semula dan diperkasakan dengan literasi pekerjaan.
Contohnya, kelab ekonomi diperkasakan dengan mempelajari status ekonomi semasa negara secara langsung daripada pembuat dasar, manakala kelab sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) pula terbabit dalam aktiviti berkaitan ilmu sains bagi meningkatkan literasi dalam bidang pekerjaan STEM.
Literasi pekerjaan ini membabitkan usaha memanfaatkan sumber sedia ada dalam negara bagi memperkukuh pemikiran dan semangat pelajar dalam mengejar cita-cita mereka.
Apa yang pasti, asas literasi pekerjaan itu sudah diletakkan di sekolah rendah, namun ia perlu diperkasakan di sekolah menengah untuk memastikan pelajar bersemangat untuk belajar dan menduduki peperiksaan SPM bagi mengejar cita-cita atau harapan mereka.
Usaha memperkasa literasi pekerjaan ini penting untuk membantu pelajar melihat kepentingan peperiksaan seperti SPM dalam menilai penguasaan asas ilmu dan kemahiran bidang sendiri, mempunyai jati diri kukuh menolak tanggapan pendidikan sekolah dan SPM tidak penting dan kental dengan azam untuk menyumbang kepada masyarakat dan negara.
Penulis adalah Pensyarah Kanan Sekolah Pendidikan, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM)
-BeritaHarian