Lori beroperasi tanpa cukai jalan, insurans sejak 2016 bukti pemilik, syarikat tak bertanggungjawab – JPJ

Estimate Reading Time: < 1 minute

SHAH ALAM: Pelbagai helah dilakukan pemandu lori untuk mengelak kenderaan yang melakukan kesalahaan disita pihak berkuasa, termasuk sanggup mematahkan komponen ‘drive shaft’ atau aci pemacu.

-Advertisement-

Taktik itu dikesan anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) hasil rondaan dilakukan di sekitar Cyberjaya, dipercayai untuk menyukarkan pihak berkuasa menyita kenderaan berkenaan.

Pengarah Kanan Penguat Kuasa JPJ, Muhammad Kifli Ma Hassan berkata ia antara tiga kes membabitkan lori yang dikesan hasil operasi di dua lokasi berasingan di sekitar Cyberjaya dan Jalan BRP 7 Legong Kuang-Rawang, kelmarin.

Mengulas lanjut katanya, satu daripada tiga lori jenis ‘tipper’ terbabit yang beroperasi tanpa cukai jalan sah sejak 2016 dan 2018 turut ditinggalkan pemandunya dipercayai warga asing di tengah jalan sebaik menyedari kehadiran anggota penguat kuasa JPJ.

“Seorang lagi pemandu cuba menghalang tindakan rampasan dengan merosakkan komponen kenderaan, namun anggota berjaya membawa lori berkenaan ke stesen JPJ untuk tindakan lanjut,” katanya ketika sidang media di Stesen Penguat Kuasa JPJ Elmina, di sini, hari ini.

Beliau berkata, siasatan mendapati sebuah lori beroperasi tanpa cukai jalan dan insurans sah sejak 20 Oktober 2016, manakala dua lagi masing-masing sejak 20 Ogos 2018 dan 4 Julai 2018.

-Advertisement-

“Pemeriksaan lanjut mendapati enjin salah sebuah lori telah ditukar tanpa kelulusan, manakala nombor casis sebuah lagi diubah suai.

“Ketiga-tiga lori itu dirampas dan akan dihantar untuk pemeriksaan lanjut. Semua kenderaan berkemungkinan dilucut hak milik,” katanya.

Beliau berkata, operasi berkenaan membuktikan wujudnya sikap tidak bertanggungjawab dalam kalangan pemilik syarikat yang hanya mementingkan keuntungan tanpa mengambil kira keselamatan orang awam.

“JPJ tidak akan berkompromi. Tindakan tegas termasuk pelucuthakan hak milik akan diambil bagi memastikan pematuhan undang-undang jalan raya,” katanya.

Muhammad Kifli turut memberi amaran tindakan menghalang tugas anggota penguat kuasa boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 234 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
-Beritaharian