KUALA LUMPUR: Pementasan teater mengekalkan keistimewaannya sebagai seni persembahan yang hidup dan unik, dengan setiap persembahan memberi pengalaman berbeza yang tidak boleh diulang.
-Advertisement-
Keunikan ini menjadikan teater bukan sekadar medium hiburan, malah ruang interaksi langsung antara pelakon dan penonton yang mampu menyentuh emosi, membangkitkan pemikiran serta memperkukuh nilai kemanusiaan. Novelis dan penulis skrip, Siti Jasmina Ibrahim, berkata teater memiliki keistimewaan tersendiri berbanding medium lain seperti televisyen atau filem.
Katanya, Sasterawan Negara, Datuk Nordin Hassan, pernah menegaskan bahawa dalam sebuah skrip atau naskhah drama pentas, harus mempunyai unsur ‘ova’, iaitu satu istilah dalam bahasa Perancis yang membawa maksud kekaguman.
“Kekaguman inilah yang menjadi nadi kepada sesebuah pementasan teater, sekali gus menjadi tanggungjawab utama pengarah dan pengkarya untuk menghadirkan pengalaman baharu yang mampu mengkagumkan penonton,” katanya ketika Audio Siar OPERA: Di Sebalik Terang Lampu Pentas yang disiarkan menerusi saluran YouTube Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), yang dimudahcarakan oleh Za’im Yusof serta turut menampilkan pengarah, Khairunazwan Rodzy sebagai panel.
Siti Jasmina berkata, setiap naskhah teater wajib memiliki nilai kekaguman supaya ia dapat menyentuh jiwa penonton.
“Nilai ini tidak semata-mata hadir melalui jalan cerita, tetapi juga melalui proses lakonan, gerak tubuh, emosi dan interaksi langsung antara pelakon dan penonton. Inilah keistimewaan utama teater yang tidak dapat dinikmati oleh penonton televisyen.
“Penonton teater hanya berpeluang menonton pementasan sekali sahaja, menjadikan pengalaman itu eksklusif dan sangat peribadi. Hanya mereka yang hadir secara langsung dapat merasai sepenuhnya makna dan tenaga yang disampaikan di atas pentas,” katanya.
Tambah Siti Jasmina, seseorang yang sudah menonton pementasan teater tidak akan mampu membuatkan rakannya benar-benar memahami pengalaman yang dilalui hanya melalui penceritaan. Lebih unik lagi, walaupun cerita yang dipentaskan adalah sama, setiap pementasan akan melahirkan pengalaman berbeza.
Tidak boleh ulang tayang
Hal ini katanya disebabkan pelakon menyuntik emosi, tenaga, dan tafsiran berbeza pada setiap pementasan, menjadikannya pengalaman yang unik dan tidak boleh diulang. Di sinilah terletaknya magis teater dan ia tidak pernah sama serta tidak boleh diulang tayang seperti medium lain,.
Tambahnya, teater juga tidak boleh dipindahkan sepenuhnya ke medium lain kerana sifatnya yang sementara dan hidup.
“Jika sesebuah pementasan diulang pada tahun berikutnya, ia pasti akan berubah, sama ada dari segi pelakon, tafsiran, tenaga mahupun konteks semasa. Perubahan inilah yang menjadikan penulisan skrip pentas begitu mengujakan.
“Malah, penulis sedar bahawa karya mereka dicipta khusus untuk penonton istimewa yang sanggup hadir dan membuka diri untuk memahami makna yang disampaikan. Justeru, penonton yang pernah merasai pengalaman ini lazimnya akan datang kembali untuk mendapatkan pengalaman baharu, selain berkongsi kisah mereka dengan orang lain tentang apa yang mereka lalui ketika menonton pementasan berkenaan,” katanya.
-Advertisement-
Tambah beliau, apabila pembikin teater benar-benar memahami apa yang ingin disampaikan, penonton juga akan dapat merasai perkara yang sama.
“Penonton bukan sahaja menikmati persembahan, malah memperoleh identiti dan tenaga baharu daripada pementasan yang ditonton. Mereka akan merasakan bahawa teater adalah sesuatu yang istimewa, bernilai dan bermakna dalam kehidupan mereka,” katanya.
Sementara itu, Khairunazwan berkata, teater masih relevan sehingga hari ini kerana peranannya yang besar dalam memanusiakan manusia, bukan sekadar hiburan tetapi melalui proses persiapan pelakon, pengarahan, latihan, dan kajian watak.
Proses ini katanya, melahirkan individu yang lebih sensitif, empati, bertanggungjawab serta tidak mudah menghukum orang lain dan pada masa sama membentuk jiwa dan pemikiran yang lebih matang.
“Golongan muda khususnya digalakkan terbabit dalam teater kerana teater berfungsi sebagai terapi jiwa dalam membantu mereka yang memberontak atau mencari jawapan hidup.
“Pementasan teater yang berkualiti amat penting bagi memastikan pengalaman pertama penonton meninggalkan kesan positif, sekali gus membuatkan mereka jatuh cinta dan terus menyokong seni teater sepanjang hayat.
“Golongan ini dianggap sebagai ‘pejuang teater’ yang setia. Malah, minat terhadap teater turut mendorong pelbagai lapisan masyarakat, termasuk pensyarah, doktor, peguam, profesional pemasaran serta individu yang berdepan masalah emosi, untuk mempelajari teater sebagai satu bentuk terapi,” katanya.
Zaman bangsawan
Dari sudut sejarah, teater Malaysia pernah melalui zaman kegemilangan pada era 1970-an hingga 1990-an, bermula sejak zaman bangsawan sebagai medium penyampaian mesej kepada masyarakat.
Hari ini, teater kembali berkembang melalui pembabitan universiti, penghasilan karya baharu, serta peralihan daripada gerakan persatuan kepada syarikat profesional yang menitikberatkan kelestarian ekonomi.
Di peringkat antarabangsa, teater terbukti memberi kesan besar kepada negara, seperti Broadway di Amerika Syarikat dan industri hiburan Korea Selatan yang disokong kerajaan.
“Di Malaysia, walaupun sokongan dan dana mula diberikan, namun kualiti persembahan harus dijaga supaya kepercayaan dan sokongan tidak terjejas. Harapan saya adalah untuk mewujudkan gelombang kecil penggiat teater yang saling menyokong, yang kemudiannya berkembang menjadi gerakan besar mampu menghidupkan ekosistem teater secara berterusan, selain mengekalkan jati diri bangsa serta menjadikan teater sebahagian daripada kehidupan masyarakat,” katanya.
-BeritaHarian