KUALA LUMPUR: Malam Rindu Bayangan anjuran Persatuan Karyawan Malaysia (KARYAWAN) bagi memberi penghormatan kepada penyanyi dan komposer, Allahyarham Jay Jay mencapai objektif dalam mengangkat dan mengiktiraf legasi ditinggalkan.
-Advertisement-
Dengan meja makan malam habis terjual sehingga terpaksa ditambah pada saat-saat akhir, menandakan Allahyarham Jay Jay atau nama sebenar, Mohd Fauzi Darus disayangi ramai.
Malam Rindu Bayangan turut dihadiri ramai penyanyi bertaraf legenda yang membuat persembahan bagi memperingati arwah.
Antara bintang yang tampil membuat persembahan adalah Datuk Ramli Sarip, Datuk Khadijah Ibrahim, Datuk Hattan, Datuk Jeffrydin, Jatt Black Dog Bone, Tam Spider dan anggota asal kumpulan Carefree.
Turut hadir, Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin.
Presiden KARYAWAN, Datuk Freddie Fernandez, berkata Allahyarham Jay Jay dikenali dengan keperibadian baik.
“Arwah Jay Jay bukan sahaja insan berbakat besar dalam muzik, malah amat baik hati dan profesional sebagai pemuzik dan penyanyi.
“Sehingga akhir hayat, arwah Jay Jay tidak putus menerima undangan untuk membuat persembahan dan menggunakan bakat untuk membimbing artis baharu.
“Pemergiannya amat menyedihkan dan Tuhan lebih menyayanginya. Apa yang tinggal hanya muzik dan kenangan indah bersama Jay Jay,” katanya kepada HIP.
Pada masa sama, Freddie turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terbabit dalam menjayakan acara Malam Rindu Bayangan.
“Untuk membuatkan majlis ini lebih bermakna, kami putuskan untuk menjadikannya sebagai acara amal untuk bantu artis susah.
“Jadi, saya berterima kasih kepada semua penaja yang menyokong kami,” katanya.
Maestro muzik legenda, Datuk M Nasir membuat kejutan apabila tampil beraksi dalam acara Malam Rindu Bayangan sebagai penghargaan buat sahabat seperjuangannya itu.
M Nasir mengenang jasa dan sumbangan arwah Jay Jay dalam industri seni tanah air. Lantas, beliau terpanggil untuk menyanyi sebagai menghargai dan mengingati sahabat baik yang dikenali sejak 45 tahun.
-Advertisement-
“Ketika itu, saya mula menyanyi. Saya tak ada duit dan comot. Saya pergi menonton Konsert Carefree. Tiada yang kenal saya pada waktu itu.
“Saya bersama kawan-kawan. Di atas bukit itu ada pokok. Di atas pokok itulah kita boleh tonton pementasan malam itu. Itulah pertemuan saya dengan Jay Jay.
“Kejadian ini berlaku 45 tahun dahulu. Tetapi, tiba-tiba, dia bermain muzik dengan saya. Dia bermain bes dengan saya, merakam album dan mewakili sebahagian hidup saya,” katanya.
Allahyarham Jay Jay atau nama sebenar, Mohd Fauzi Darus meninggal dunia di sebuah pusat perubatan di Kota Damansara, Petaling Jaya, pada 4 Ogos tahun lalu.
Pada Mei tahun lalu, Allahyarham Jay Jay dilapor menjalani pembedahan pintasan jantung di Institut Jantung Negara (IJN) selepas mendapat serangan jantung ringan dan sesak nafas ketika mahu menaiki bas dari Singapura ke Kuala Lumpur.
Arwah bagaimanapun dilapor mengalami angin ahmar selepas pembedahan dan perlu menjalani rawatan fisioterapi.
Kerjaya seni Allahyarham Jay Jay bermula sebagai vokalis dan pemain bes kumpulan Carefree yang cukup popular dengan lagu Rindu Bayangan.
Bersama Carefree, Allahyarham Jay Jay sempat merakamkan empat album termasuk album kompilasi.
Allahyarham Jay Jay kemudian meneruskan kerjaya seni secara solo dan menghasilkan tujuh album.
Antara lagu popular arwah adalah Kau Yang Tersendiri, Keasingan Dalam Luka, Cukuplah Sekali dan banyak lagi.
Allahyarham Jay Jay pernah berpadu suara dengan penyanyi Dayangku Intan menerusi lagu Kita Insan Biasa dan Peralihan Zaman.
Selain itu, beliau berduet dengan Ning Baizura menerusi lagu Erti Pertemuan. Populariti Jay Jay sebagai penyanyi solo terus memuncak apabila dinobatkan sebagai Penyanyi Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) pada 1988.
Pada acara itu, KARYAWAN turut memberi sumbangan buat waris artis termasuklah Hairie KOOL yang kehilangan ibunya, seniwati legenda, Allahyarham Sophia Ibrahim pada 5 Mei lalu.
Turut menerima sumbangan, anak Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P Ramlee iaitu Sazali, Iqbal Mazlan, Mariam Ahmad, Zaiton Sameon dan balu Allahyarham Jay Jay, Zaitoon Wahid.
-BeritaHarian