Malaysia-China perkukuh kerjasama ekonomi digital, hijau, biru

Estimate Reading Time: 3 minutes

KUALA LUMPUR: Malaysia dan China akan meningkatkan kerjasama ekonomi dengan memberi tumpuan kepada empat sektor utama — ekonomi digital, hijau, biru dan pelancongan — dengan langkah bertujuan memperluas integrasi dalam rantaian industri, bekalan, nilai, data dan tenaga kerja.

Dalam kenyataan bersama mengenai pembinaan komuniti strategik Malaysia-China peringkat tinggi dengan masa depan bersama, kedua-dua negara bersetuju menjadi peneraju dalam kerjasama serantau mengenai kuasa produktif kualiti baharu, menggalakkan pelaksanaan Pelan Kerjasama Inisiatif Jalur dan Laluan (yang ditandatangani pada 2024) serta menyelaraskan lagi strategi pembangunan.

Kenyataan bersama itu dikeluarkan susulan lawatan negara Presiden China Xi Jinping selama tiga hari ke Malaysia yang berakhir hari ini atas jemputan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.

Katanya kedua-dua pihak menzahirkan penghargaan apabila jumlah perdagangan dua hala meningkat hampir seribu kali ganda dalam tempoh 50 tahun sejak terjalinnya hubungan diplomatik dan sama-sama komited untuk melaksanakan Program Lima Tahun bagi Kerjasama Ekonomi dan Perdagangan (2024–2028) dalam meningkatkan hasil kerjasama ekonomi dan perdagangan serta memperluas skala perdagangan.
Kedua-dua pihak bersetuju untuk bekerjasama mewujudkan rantaian industri dan bekalan yang selamat dan stabil serta meningkatkan kerjasama.
Malaysia-China akan menggalakkan pelaburan bersama dan mengukuhkan pertukaran dalam industri pertumbuhan tinggi dan bernilai tinggi (HVHG).

Tumpuan strategik ini akan menarik pelaburan berkualiti, memacu penggunaan teknologi dan mengukuhkan peranan Malaysia dalam rantaian bekalan global, menurut kenyataan itu.

Kedua-dua pihak juga menggalakkan kerjasama yang lebih baik dalam projek “Two Countries, Twin Park”, menyokong pembangunan zon kerjasama ekonomi dan perdagangan yang berkualiti tinggi dan menyediakan persekitaran perniagaan yang lebih baik untuk syarikat mereka.

Menyedari kepentingan perjanjian pelaburan dua hala peringkat tinggi dalam menggalakkan kerjasama pelaburan, kedua-dua pihak mengakui kemungkinan perbincangan pada masa akan datang untuk mengkaji cara meningkatkan liberalisasi dan memudah cara pelaburan dua hala.

Mereka turut merancang untuk meningkatkan tahap perlindungan pelaburan dalam konteks perjanjian pelaburan dua hala semasa.

Kedua-dua pihak akan sama-sama meninjau kerjasama dalam kuasa produktif kualiti baharu, mewujudkan sektor pertumbuhan baharu dalam bidang terkini seperti pembuatan termaju, kecerdasan buatan dan teknologi kuantum, meningkatkan kerjasama bandar pintar dan mengukuhkan pembangunan bersepadu dalam rantaian industri dan bekalan.

Selain itu, Malaysia mengalu-alukan syarikat China untuk mengambil bahagian dalam pembinaan rangkaian 5G negara.

Kedua-dua pihak berharap dapat mengkaji potensi kerjasama dalam rantaian industri semikonduktor untuk mengekalkan kestabilan rantaian industri dan bekalan.

Malaysia dan China mengakui bahawa e-dagang menjadi pemangkin penting untuk perdagangan dan pertumbuhan ekonomi, inovasi serta pembangunan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Berdasarkan kerjasama yang telah lama terjalin dalam bidang ini, kedua-dua pihak akan meningkatkan kerjasama dalam ekosistem e-dagang untuk menyumbang kepada hubungan ekonomi yang lebih baik dan mampan serta membawa manfaat yang ketara kepada kedua-dua negara.

Kedua-dua pihak akan terus menggalakkan syarikat mewujudkan kerjasama dalam bidang tenaga baharu berdasarkan prinsip perniagaan dan sama-sama mewujudkan ekonomi hijau baharu.

Mereka akan meneroka dan menggalakkan kerjasama dalam peralatan rel, aeroangkasa dan tenaga nuklear, menyokong syarikat penerbangan Malaysia dalam memperkenalkan dan mengoperasikan pesawat komersial China serta memudah cara meningkatkan industri dan transformasi tenaga kedua-dua negara.

Kedua-dua negara juga bersetuju untuk meningkatkan kerjasama dalam jaringan infrastruktur, sama-sama melaksanakan projek utama seperti Laluan Rel Pantai Timur, menggalakkan pengangkutan darat (kereta api) dan laut serta menambah baik jaringan serantau.

Kedua-dua negara menggalakkan pelabuhan mereka untuk mengukuhkan kerjasama dan memudah cara pembangunan ekonomi biru.

Kedua-dua pihak komited untuk meneroka dan mewujudkan lebih banyak projek kerjasama strategik dan ikonik berdasarkan kepercayaan dan manfaat bersama serta situasi menang-menang.

Mereka komited terhadap kerjasama penerbangan yang komprehensif dan akan mengukuhkan pertukaran teknikal kepakaran penerbangan awam serta meningkatkan kerjasama logistik penerbangan antara Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan Lapangan Terbang Antarabangsa Zhengzhou Xinzheng untuk merealisasikan visi bersama “Air Silk Road” yang lancar antara ASEAN dan China.

Malaysia dan China mengekalkan komitmen mereka untuk memperkukuh pengangkutan rel dan kerjasama infrastruktur serta menyumbang kepada merealisasikan visi Kereta Api Pan-Asia.
-BERNAMA
-BeritaHarian