MAM sedia jadi ‘orang tengah’ selesai masalah Gabit

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Persatuan Sukan Bermotor Malaysia (MAM) sedia menjadi ‘orang tengah’ bagi membantu memudahkan urusan bekas pelumba motocross negara, Muhamad Habibullah Mohd Saleh yang sedang memohon untuk menjadi ahli Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB).

Habibullah sebelum ini berdepan kesukaran untuk melengkapkan prosedur keahlian memandangkan sukan permotoran tidak mempunyai sijil atau pengiktirafan sebagai atlet yang pernah mewakili negara di pentas antarabangsa seperti diminta YAKEB.

Kesukaran dihadapi juara dua kali Kejuaraan FIM Supermoto Asia pada 2016 dan 2018 yang lebih dikenali sebagai Gabit itu dalam memenuhi ‘syarat’ ditetapkan yayasan berkenaan menyebabkan dirinya kini berada dalam keadaan buntu.

Begitupun, MAM selaku badan induk sukan permotoran kebangsaan bersedia untuk membantu Habibullah dengan mengadakan pertemuan bersama YAKEB dalam masa terdekat sekali gus memudahkan urusan pelumba berkenaan yang kini menghidap kanser hidung kali kedua tahun lalu.

“Kami akan mengadakan pertemuan dengan YAKEB selepas ini. Salah satu isu ketika ini adalah mengenai Gabit,” kata Timbalan Presiden MAM, Datuk Mohammed Rhiza Ghazi.

“Ada beberapa isu berkenaan perkara diperlukan daripada pihak kami dan kami akan cuba bantu Gabit. Saya rasa perkara itu (untuk surat sokongan) tidak menjadi masalah.

“Kami perlu tahu apa yang dia (Gabit) mahukan daripada kita. Kebiasaannya apabila ada pihak yang datang kepada kami untuk mendapatkan surat sokongan, kami sedia bantu.”

Sebagai rekod, Gabit sebelum ini disahkan menghidap kanser hidung pada 2021 namun selepas menjalani rawatan kemoterapi, bekas pelumba berusia 34 tahun berkenaan disahkan bebas daripada penyakit itu pada 2023.

Namun, kanser itu kembali menghantuinya tahun lalu dan sehingga kini sudah menjalani 18 sesi kemoterapi di Institut Kanser Negara (IKN) pada ketika sumber pendapatannya turut terjejas.

Dalam pada itu, seandainya pertemuan MAM dan YAKEB berhasil, ia pastinya akan membuka ruang baharu buat kedua-dua pihak kembali menamatkan isu keahlian atlet permotoran menyertai yayasan bagi membolehkan mereka menerima bantuan terutama daripada sudut kebajikan, sama seperti bekas atlet kebangsaan yang lain.

Isu mengenai penyertaan atlet permotoran tidak menerima ‘layanan setimpal’ pernah disiarkan BH Sukan pada 2020 selepas pelumba negara di Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC), Azlan Shah Kamaruzaman menggesa keringat atlet sukan permotoran turut diangkat sama seperti atlet lain di Malaysia.

Hasilnya, YAKEB dan MAM pada ketika itu bersetuju untuk bekerjasama merangka had minimum kelayakan keahlian buat atlet sukan permotoran memandangkan had minumum keahlian yayasan adalah mewakili negara di Sukan SEA.

“(Usaha) itu di bawah pengurusan sebelum ini (jawatankuasa terdahulu). InsyaAllah (untuk meneruskan perbincangan) kerana kita menerapkan pendekatan polisi terbuka. Jadi kita alu-alukan kerana matlamat kita, nak jaga pembangunan sukan permotoran dan yang selepas itu (persaraan).

“Kita akan bincang lebih lanjut dengan semua pemegang taruh untuk sukan dua roda dan empat roda dan kita akan mengadakan perjumpaan (dengan YAKEB) tidak lama lagi,” katanya.
-BeritaHarian