MANCHESTER: Manchester United memburu perancang Wolverhampton Wanderers, Matheus Cunha yang panas baran bagi mempertajamkan lagi barisan serangan mereka.
Posisinya di belakang penyerang dan dia banyak menjaringkan gol serta membantu jaringan rakan sepasukan, tetapi sering dipalit kontroversi walaupun digemari penyokong.
Ia kedengaran seperti Eric Cantona ketika menyarung jersi Man United – namun mampukah Cunha, 25, mengubah nasib United seperti dilakukan Cantona ketika menyertai kelab berkenaan pada tahun 1992 di usia 26 tahun?
Old Trafford melihat sendiri pemain yang mempunyai klausa pelepasan 62.5 juta pound (RM365.18 juta) itu Ahad lalu dan menyukai apa yang mereka lihat.
Cunha menggunakan kemahirannya untuk memenangi sepakan percuma yang disempurnakan Pablo Sarabia pada minit ke-77 untuk kemenangan Wolves.
Pengendali Man United, Ruben Amorim memuji Cunha dan ketika bercakap tentang rakan senegara dari Portugal yang membimbing Wolves, Vitor Pereira, Amorim berkata: “Dia mempunyai pemain-pemain berkualiti, Cunha dan lain-lain.
“Saya hanya memberikan contoh kerana saya teringat tentang Matheus – dia menjaringkan banyak gol. Itu sahaja.”
Penyerang itu meledak 16 gol dalam semua pertandingan untuk Wolves musim ini – 14 daripadanya dalam saingan Liga Perdana Inggeris, lebih banyak berbanding musim lalu.
Sementara United hanya mampu menjaringkan satu gol dalam empat aksi liga sejak rehat perlawanan antarabangsa bulan lalu.
Cunha pernah beraksi di Jerman dan Sepanyol, dan kini membuktikan kehebatannya di musim kedua dalam bola sepak Inggeris.
Bagaimanapun sikap panas baran Cunha sedikit merisaukan. Dia pernah bergaduh dengan pegawai keselamatan ketika kekalahan di laman sendiri pada Disember, mencabut cermin mata pegawai berkenaan dan menyikunya.
Namun ia tidak setanding dengan tendangan kung-fu Cantona ke atas penyokong di Crystal Palace pada tahun 1995.
Pemain yang 13 kali mewakili Brazil itu turut digantung empat perlawanan selepas dilayangkan kad merah kerana menyerang pemain Bournemouth, Milos Kerkez ketika aksi Piala FA bulan lalu.
Penyokong Wolves menyayanginya tetapi baru-baru ini dia menguji kesabaran mereka.
Walaupun baru menandatangani kontrak baharu di Molineux pada Januari, dia berkata dalam satu temu bual yang dia mungkin akan mencari destinasi baharu bagi memenuhi impiannya.
“Kini kami semakin hampir untuk kekal (di Liga Perdana Inggeris). Tetapi saya menegaskan pendirian saya yang saya mungkin mengambil langkah seterusnya. Saya mahu bersaing untuk gelaran, untuk perkara besar. Saya mempunyai potensi,” kata Cunha.
Dia kemudian mendakwa kenyataannya disalah tafsir, sebaliknya dia mahu terus maju bersama Wolves.
-AGENSI
-BeritaHarian