CYBERJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah merakam percakapan seorang individu didakwa memuat naik komen bersifat jelik melampau yang menghina Nabi Muhammad SAW dan agama Islam dalam laman aplikasi Facebook dipercayai milik lelaki itu.
MCMC dalam satu kenyataan, hari ini, memaklumkan rakaman percakapan lelaki berusia 63 tahun itu dilakukan dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri, Johor, 20 April lalu.
Menurutnya, telefon bimbit dan kad sim dipercayai digunakan warga emas itu untuk memuat naik komen berkenaan juga telah disita bagi tujuan analisis forensik.
Kes disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang jika sabit kesalahan, boleh dikenakan denda hingga RM500,000 atau penjara maksimum hingga dua tahun atau kedua-duanya sekali.
MCMC memaklumkan dalam masa terdekat, kertas siasatan itu akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya di Jabatan Peguam Negara dan diberi taklimat bagi mendapatkan keputusan.
“MCMC tidak akan berkompromi dan bertolak ansur dengan mana-mana pihak yang menyalahgunakan platform media sosial, khususnya menyentuh isu 3R (agama, kaum dan institusi diraja) yang berpotensi mengakibatkan ketegangan antara agama serta mengganggu keharmonian masyarakat berbilang kaum di Malaysia.
“Orang ramai turut diingat menggunakan media sosial secara beretika dan bertanggungjawab,” katanya.
-BeritaHarian