KUALA LUMPUR: Legenda bola sepak negara, Reduan Abdullah menegaskan anak tempatan tidak seharusnya ‘goyang’ dengan kehadiran pemain berdarah warisan dan naturalisasi dalam skuad kebangsaan Harimau Malaya ketika ini.
-Advertisement-
Sebaliknya, bekas pemain tengah skuad negara itu mahu pemain tempatan terus bekerja keras dan membuktikan betapa mereka mampu untuk memberi cabaran kepada pemain berdarah warisan dan juga naturalisasi.
“Fasiliti sudah ada, kepakaran dah ada, jurulatih kecergasan semua sudah ada. Sekarang pemain tempatan kita hanya perlu main bola sahaja.
“Saya tidak tahu sejauh mana keupayaan fizikal mereka tetapi apa yang penting mentaliti pemain kena kuat.
“Ini kerana kita akan menentang Vietnam nanti. Kita mahu tengok sejauh mana keupayaan pemain-pemain ini khususnya yang baru dipanggil menyertai skuad kebangsaan,” katanya.
Sebagai rekod, seramai 22 pemain tempatan daripada 38 pemain yang dipanggil pengendali skuad Harimau Malaya, Peter Cklamovski untuk menyertai kem latihan pusat bagi berdepan Cape Verde dan Vietnam.
Skuad negara akan berdepan Cape Verde sebanyak dua kali iaitu membabitkan aksi persahabatan Tier 1 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur pada 29 Mei ini.
-Advertisement-
Kedua-dua pasukan akan berentap sekali lagi dalam perlawanan berstatus perlawanan latihan secara tertutup di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 3 Jun.
Dua perlawanan ini adalah sebagai persiapan sebelum aksi penting menentang Vietnam bagi Kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Nasional Bukit Jalil, 10 Jun ini.
Kedua-dua pasukan ini membuka kempen Kelayakan Piala Asia 2027 dengan cemerlang yang menyaksikan Malaysia menewaskan Nepal 2-0 manakala Vietnam membenam Laos 5-0.
Kelebihan jaringan menyaksikan Vietnam mendahului Malaysia dalam kedudukan Kumpulan F meskipun masing-masing menghimpun tiga mata.
Aksi Kelayakan Piala Asia 2027 ini lebih sukar memandangkan hanya juara kumpulan akan mendapat slot ke pusingan akhir yang akan berlangsung di Arab Saudi.
-BeritaHarian