ISTANBUL: Pertubuhan kemanusiaan antarabangsa, Doktor Tanpa Sempadan (MSF) menggesa Kesatuan Eropah (EU) memberi ‘tekanan sebenar’ ke atas Israel untuk menghentikan ‘pembunuhan beramai-ramai’ di Gaza.
“Mesej kami kepada pemimpin adalah mudah. Kami menggesa anda menggunakan semua alat politik, ekonomi dan diplomatik untuk memberikan tekanan sebenar kepada Israel.
“Regim Zionis perlu menghentikan pembunuhan beramai-ramai di Gaza dan membenarkan bantuan kemanusiaan tanpa halangan,” kata Setiausaha Agung MSF, Christopher Lockyear dalam sidang akhbar.
Beliau turut membacakan surat terbuka ditujukan kepada pemimpin Eropah.
Menyifatkan keadaan di Gaza sebagai ‘bukti kegagalan besar tanggungjawab moral dan politik, Lockyear menggesa Eropah dan negara lain menunjukkan solidariti ‘melalui tindakan dan tanggungjawab’.
“Berapa ramai lagi kanak-kanak, wanita dan lelaki yang mesti dibunuh atau dihempap runtuhan sebelum anda bertindak? Pemimpin Eropah, adakah anda akan terus bersubahat dengan hanya berdiam diri?
“Adakah anda akan terus mengeluarkan kenyataan kosong mengenai keadaan di Gaza sambil menghantar senjata yang membunuh dan mencacatkan kanak-kanak yang kami rawat setiap hari,” katanya.
Tambahnya, pasukan MSF di lapangan menggambarkan keadaan di Gaza ‘lebih teruk daripada neraka’ kerana rumah, hospital, pasar, rangkaian air, jalan raya dan talian elektrik dimusnahkan tentera Israel.
Katanya lagi, ia ‘bukan serangan terpencil’, sebaliknya sebahagian besar daripada mereka tidak menghiraukan undang-undang kemanusiaan antarabangsa secara sistematik.
“Israel secara sistematik memusnahkan apa yang diperlukan untuk kehidupan rakyat Palestin di Gaza, malapetaka ini sengaja dibuat berasaskan keputusan manusia.
“Ia akan berpanjangan dan diterima masyarakat antarabangsa yang masih belum mempunyai keberanian atau ketegasan untuk menghentikannya,” katanya.
Sementara itu, penyelaras kecemasan MSF yang meninggalkan Gaza 10 hari lalu, Omar Ebeid, menyifatkan pengalamannya sebagai ‘serangan terhadap deria’, memetik bunyi ganas, deruan dron berterusan dan bau kumbahan di kebanyakan kawasan.
“Air bersih sukar diakses, rangkaian bekalan air terputus dan sistem kumbahan tidak berfungsi dengan baik,” katanya yang turut mendedahkan satu pertiga daripada penduduk Palestin sudah dipindahkan sekurang-kurangnya sekali sejak gencatan senjata ditamatkan.
Seorang lagi doktor perubatan MSF, Virginia Moneti, turut memberi amaran bahawa mereka kehabisan bekalan perubatan dengan ‘tidak ada cara rawatan lain’ boleh dilakukan lagi.
“Dalam tempoh dua bulan lepas, kami melihat sekurang-kurangnya tiga kakitangan yang perlu dimasukkan ke hospital dan mereka sendiri menjadi pesakit.
“Ini tidak mampan. Ini bukan kemanusiaan. Jadi, kami benar-benar menyeru untuk tindakan. Sekarang, kami memerlukan bantuan kemanusiaan untuk memasuki Gaza. Serangan mesti dihentikan sekarang,” katanya.
Sekurang-kurangnya 55,432 rakyat Palestin terbunuh dalam perang dilancarkan Israel di Semenanjung Gaza sejak Oktober 2023.
November lalu, Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICJ) mengeluarkan waran tangkap ke atas Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanannya, Yoav Gallant, atas dakwaan jenayah perang dan kemanusiaan di Gaza.
Israel juga berdepan kes pembunuhan beramai-ramai di ICJ kerana melancarkan perang terhadap wilayah terkepung itu.
-AGENSI
-BeritaHarian