Murid parah dilanggar oleh van sekolah

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUANTAN: Seorang murid cedera parah selepas dipercayai dilanggar van sekolah dinaikinya di Perumahan Makmur Penor Utara Jaya di sini, petang semalam.

-Advertisement-

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang, Superitendan Kamarulzaman Jusoh, berkata kejadian jam 2.40 petang itu berlaku ketika mangsa, Nur Zahra Aisyah Mohd Zaini, 7, diturunkan pemandu van untuk pulang ke rumahnya.

“Dalam kejadian itu, van sekolah berkenaan dipandu seorang lelaki berusia 33 tahun dari arah Sekolah Kebangsaan (SK) Mat Kilau menghala ke perumahan berkenaan.

“Apabila sampai di tempat kejadian, pemandu itu memberhentikan kenderaannya untuk menurunkan mangsa di sebelah kanan jalan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, selepas menurun mangsa daripada kenderaannya, pemandu itu tidak menyedari kanak-kanak berkenaan melintas di hadapan van dipandunya.

-Advertisement-

“Disebabkan jarak terlalu dekat, pemandu itu tidak sempat memberhentikan kenderaan, lalu terlanggar mangsa di bahagian hadapan,” katanya.

Beliau berkata, mangsa mengalami kecederaan di kepala dan dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini untuk menerima rawatan lanjut.

Difahamkan, mangsa sudah menjalani pembedahan malam tadi selepas mengalami pendarahan di kepala.

Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – Berita Harian