KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju menyalurkan bantuan tambahan kepada semua mangsa yang terjejas dalam insiden kemalangan bas di Gerik, Perak, kelmarin.
-Advertisement-
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil, berkata dalam mesyuarat Kabinet hari ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan setiap keluarga mangsa yang meninggal dunia akan menerima bantuan tambahan RM10,000.
Bagi mangsa lain yang cedera, beliau yang juga Menteri Komunikasi berkata, mereka akan menerima bantuan tambahan RM5,000.
-Advertisement-
“Perdana Menteri sudah maklumkan kepada Jemaah Menteri supaya diberikan bantuan tambahan kepada setiap keluarga mangsa yang meninggal dunia sebanyak RM10,000 dan yang cedera, RM5,000.
“Perdana Menteri juga sudah arahkan Jabatan Peguam Negara meneliti dari aspek insurans kepada mangsa-mangsa ini,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.
Isnin lalu, 15 pelajar UPSI yang dalam perjalanan kembali ke kampus maut apabila bas sewa khas dari Jertih, Terengganu ke Tanjung Malim, Perak, terbalik sebelum melanggar sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza di JRTB.
Nahas itu turut menyebabkan 33 lagi mangsa cedera, termasuk pemandu dan kelindan bas serta pemandu dan tiga penumpang kereta Perodua Alza.
Kelmarin, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memaklumkan akan menyalurkan bantuan awal RM2,000 dan bantuan bencana RM1,000 kepada waris mangsa terbabit dalam tragedi mengorbankan 15 nyawa di Kilometer 53 Jalan Raya Timur-Barat (JRTB), dekat Gerik itu.
Kerajaan Perak turut mengumumkan sumbangan bantuan awal berjumlah RM1,000 kepada waris setiap mangsa kemalangan, manakala Kerajaan Terengganu pula dengan bantuan one-off RM3,000 kepada 15 keluarga mangsa yang maut.
Bagi mangsa yang cedera pula, kerajaan Terengganu dilapor akan menyalurkan bantuan kebajikan sebanyak RM1,000 kepada 33 mangsa terbabit.
-BeritaHarian