PETALING JAYA: Naib Presiden PRK, Nik Nazmi Nik Ahmad optimis untuk terus mempertahankan kedudukannya itu pada sesi Pemilihan PKR 2025 pada Mei depan, meskipun tewas dalam saingan di peringkat Cabang Sabtu lalu.
Katanya, beliau kekal dengan keputusan berkenaan namun semuanya bergantung kepada pengumuman besar yang akan dimaklumkan selepas ini.
“Sebelum ini saya sudah maklumkan akan mempertahankan jawatan… insya-Allah, kita tetap dengan keputusan itu (bertanding jawatan Naib Presiden PKR).
“Tetapi esok, saya akan fokus kepada mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) yang akan dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Mesyuarat esok akan membincangkan mengenai proses pemilihan sebelum ini, melihat apa yang berlaku dan apakah langkah selepas ini,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Pelancaran Panel Solar Baharu di IKEA Damansara, di sini, hari ini.
Ahad lalu, BH melaporkan Nik Nazmi yang juga Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar gagal mempertahankan jawatan Ketua Cabang Setiawangsa selepas tewas kepada Datuk Afdlin Shauki.
Pada pemilihan itu, Afdlin yang juga pelakon memperoleh 631 undi berbanding 563 undi yang diperoleh Nik Nazmi selaku penyandang.
-BeritaHarian