KUALA LUMPUR: OYO, syarikat teknologi hospitaliti global memperkenalkan jenama hotel mewah terbaharunya, SUNDAY Hotel di Malaysia di Kuala Lumpur dan Pantai Cenang, Langkawi.
-Advertisement-
Ketua Perniagaan dan Operasi OYO Malaysia, Raymond Chen, berkata kedua-dua hotel mewah di bawah jenama kumpulan itu mula dibuka kepada orang ramai.
Beliau berkata, OYO merancang untuk menambah sekurang-kurangnya 10 lagi SUNDAY Hotel di Malaysia menjelang akhir tahun ini.
Katanya, antara lokasi yang sudah dikenal pasti pihaknya selain di Kuala Lumpur adalah Johor Bahru, Pulau Pinang, Kuantan dan Kota Kinabalu.
“Langkah itu seiring dengan strategi syarikat untuk memperluaskan rangkaian hartanah premium di peringkat global,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Chen, pembukaan jenama hotel mewah di Malaysia menyusuli kejayaan SUNDAY Hotel di India, Arab Saudi, United Kingdom (UK) dan Dubai.
Beliau berkata, jenama SUNDAY Hotel direka khusus untuk memenuhi keperluan pengembara moden yang sentiasa berubah dan menawarkan tempat percutian yang sempurna untuk menyegarkan diri.
Katanya, SUNDAY Hotel memperkenalkan konsep mewah moden yang berbeza daripada hotel konvensional, dengan pengalaman yang direka secara teliti agar tetamu boleh bersantai mengikut rentak sendiri.
“Kami terinspirasi dengan sambutan global terhadap SUNDAY Hotel dan bekerja keras sepanjang tahun lalu untuk mengenal pasti hartanah yang seiring dengan visi kami dalam menyediakan penginapan yang bermakna.
-Advertisement-
“Maklum balas positif daripada tetamu sejak pelancaran membuktikan komitmen kami terhadap kecemerlangan. Kami teruja untuk meluaskan jenama SUNDAY Hotel ke lebih banyak lokasi di seluruh negara,” katanya.
Setiap SUNDAY Hotel menawarkan pengalaman yang menonjolkan keterlibatan dengan komuniti setempat dan kreativiti tempatan.
Antara ciri utama jenama SUNDAY Hotel adalah kemudahan mewah yang direka untuk memberikan keselesaan dan kemudahan maksimum.
Setiap bilik dihias elegan dan luas, serta dilengkapi dengan Wi-Fi berkelajuan tinggi, televisyen skrin rata, katil berkualiti premium dan bilik mandi yang serba lengkap.
Beberapa hotel turut menawarkan perkhidmatan tambahan seperti sajian dalam bilik, mini bar dan kelengkapan mandian premium.
Perkhidmatan ‘concierge’ juga disediakan bagi membantu pengaturan perjalanan, cadangan tempat menarik tempatan dan permintaan khas.
Jenama SUNDAY Hotel pertama kali diperkenalkan pada Mei 2023 di India menerusi usaha sama antara Softbank dan Oravel Stays, dengan hotel pertama dilancarkan di destinasi warisan terkenal dunia, Jaipur.
Sehingga kini, India mempunyai tiga SUNDAY Hotel dan merancang untuk menambah jumlah ini kepada 25 menjelang Mac 2025.
-BeritaHarian