PARLIMEN: Perintah Gaji Minimum dikaji

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang melaksanakan kajian Perintah Gaji Minimum (PGM) bagi penguatkuasaan gaji minimum baharu untuk semua sektor.

-Advertisement-

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Awang Hashim, berkata kajian dilaksanakan oleh Jawatankuasa Teknikal Perundingan Gaji Negara (JTPGN) sebelum syor hasil dapatan dikemukakan untuk pertimbangan kerajaan.

“Kajian impak pelaksanaan gaji minimum secara berkala dijalankan selaras dengan Seksyen 25 (1), Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 (Akta 732).

“Peraturan itu memperuntukkan kajian terhadap perintah gaji minimum perlu dilaksanakan sekurang-kurangnya sekali dalam setiap dua tahun.

“JTPGN sedang memperhalusi semua dapatan yang diperoleh manakala laporan dapatan kajian akan dibahaskan di peringkat Majlis Perundingan Gaji Negara (MPGN) sebelum syor dikemukakan untuk pertimbangan dan persetujuan kerajaan,” katanya pada sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Nurul Izzah Anwar (PH-Permatang Pauh) yang mahu tahu mengenai tahap pelunasan komitmen kerajaan serta perincian usaha setakat ini dalam kajian semula gaji minimum.

Awang berkata, kajian turut dijalankan mengikut Seksyen 25 (3) Akta 732 bagi menilai keberkesanan perintah gaji minimum dan implikasinya terhadap pembangunan sosial serta ekonomi negara.

Sehingga 1 September lalu, katanya, kementerian sudah menjalankan enam sesi libat urus yang dihadiri 209 persatuan majikan, 93 kesatuan sekerja dan empat badan bukan kerajaan (NGO).

“Kementerian juga mengedarkan borang kaji selidik kepada sampel kajian yang ditetapkan iaitu 1,996 responden majikan dan 1,996 responden pekerja.

-Advertisement-

“Kita juga melaksanakan ‘Kajian Persepsi Orang Awam Mengenai Perintah Gaji Minimum 2020’ melalui portal Kementerian Sumber Manusia (KSM).

“Seramai 239 responden membabitjan 177 orang pekerja atau mewakili 74.2 peratus, 25 majikan (10.5 peratus) dan 37 responden lain (15.7 peratus) mengambil bahagian,” katanya.

Kepada soalan tambahan Nurul Izzah sama ada kerajaan mengambil kira kewujudan gaji sara hidup seperti Luxembourg dan Australia, Awang berkata, Malaysia perlu mengatasi cabaran pertumbuhan produktiviti sederhana dengan pekerjaan yang berproduktiviti tinggi serta bergaji tinggi yang mampu mencapai taraf hidup minimum.

Beliau berkata, kadar purata gaji di Luxembourg dan Australia adalah lebih tinggi, hampir dua kali ganda berbanding di Malaysia.

“Jumlah penduduk di Luxembourg lebih rendah iaitu 0.63 juta, berbanding 32.7 juta penduduk Malaysia.

“Ia menyebabkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) perkapita di Luxembourg lebih tinggi berbanding KDNK perkapita di Malaysia.

“Pendapatan dan KDNK perkapita yang tinggi menggambarkan kos sara hidup lebih tinggi di Luxembourg dan Australia,” katanya. -BH