PAS cuba hingga saat akhir kerjasama UMNO, BERSATU

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: PAS akan terus mencuba hingga saat akhir untuk mencari jalan bekerjasama dengan UMNO, bagi mengelak pertembungan parti itu dan BERSATU dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

-Advertisement-

Naib Presiden PAS, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata PAS tidak pernah berputus asa dalam usahanya untuk menyatukan tiga parti Melayu itu.

“Kita masih mencuba. Kenyataan terakhir kita pun menuju kepada penyatuan ummah.

“Kita tak boleh berputus asa,” katanya ditemui media selepas selesai mesyuarat Jawatankuasa PAS pusat di ibu pejabat parti itu di sini hari ini.

Mesyuarat itu dipengerusikan Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Mat, berakhir kira-kira 10.50 pagi tadi.

Ditanya sama ada tiga negeri diterajui PAS akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi membolehkan pilihan raya diadakan bersekali dengan PRU15, Ahmad Samsuri menjelaskan, satu kenyataan rasmi akan dikeluarkan Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hasan.

-Advertisement-

“Saya tak boleh ulas. Setiausaha Agung akan beri kenyataan. Tunggu kenyataan,” katanya sambil memaklumkan sudah ada keputusannya.

PAS sebelum ini memutuskan DUN tiga negeri ditadbirnya, Kedah, Kelantan dan Terengganu tidak akan dibubarkan sehingga tahun depan, jika PRU15 diadakan tahun ini.

Parlimen secara rasmi dibubarkan berkuat kuasa semalam, selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

-BH