PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini membenarkan permohonan Datin Seri Rosmah Mansor untuk mendapatkan pasport antarabangsa sementara sehingga 30 April, bagi membolehkan beliau melawat anak perempuannya di Singapura.
-Advertisement-
Peguam Rosmah, Datuk Jagjit Singh, mengemukakan permohonan itu melalui prosiding dalam talian di hadapan panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Azmi Ariffin, Datuk Noorin Badaruddin dan Datuk Meor Hashimi Abdul Hamid.
Hakim Datuk Azmi, yang mempengerusikan panel berkenaan, membenarkan permohonan tersebut selepas Timbalan Pendakwa Raya, K Mangai, yang mewakili pihak pendakwaan, tidak mengemukakan sebarang bantahan.
Terdahulu, Jagjit Singh dengan dibantu Datuk Akberdin Abdul Kader memaklumkan bahawa Rosmah memohon pelepasan pasport untuk ke Singapura dari 1 Februari hingga 30 April ini. Beliau akan pulang ke Kuala Lumpur dan menyerahkan semula pasportnya kepada mahkamah pada 20 Februari. Pasport itu kemudiannya akan dipulangkan semula pada 26 Februari bagi membolehkan Rosmah berada di Singapura sehingga 30 April.
Jagjit Singh menambah bahawa Rosmah akan kekal berada di Kuala Lumpur sehingga rayuannya di Mahkamah Persekutuan selesai, berhubung permohonan supaya seorang hakim Mahkamah Tinggi menarik diri daripada mendengar kes rasuahnya berkaitan projek solar hibrid di Sarawak.
Rosmah sebelum ini pernah mengemukakan permohonan serupa untuk melawat anak perempuannya. Beliau memfailkan permohonan itu pada saat akhir sebelum Hakim Datuk Mohamed Zaini Mazlan dijadual menyampaikan keputusan pada 1 September 2022.
-Advertisement-
Pada hari sama, Hakim Mohamed Zaini mensabitkan Rosmah, 74, bersalah atas tiga pertuduhan rasuah dan menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun serta denda RM970 juta; sekiranya gagal membayar denda, hukuman penjara 30 tahun akan dikenakan. Rosmah kemudian mengemukakan rayuan di Mahkamah Rayuan dan diberi penangguhan pelaksanaan hukuman penjara serta denda sementara menunggu keputusan rayuan.
Beliau berdepan satu pertuduhan meminta rasuah berjumlah RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima suapan berjumlah RM6.5 juta daripada bekas pengarah urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsudin.
Prosiding hari ini disertai pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya P Sarulatha dan Ng Siew Wee.
–BERNAMA
-BeritaHarian