KUALA LUMPUR: Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM) membangkitkan kebimbangan mengenai keberkesanan dan keadilan dasar baharu berkaitan larangan penyalahgunaan petrol RON95 bersubsidi oleh kenderaan berdaftar asing, yang berkuat kuasa mulai 1 April ini.
-Advertisement-
Presiden PDAM, Datuk Khairul Annuar Abdul Aziz, berkata walaupun rangka kerja penguatkuasaan kini meletakkan liabiliti kepada pembeli, keberkesanan dasar itu bergantung sepenuhnya kepada mekanisme pelaksanaan di lapangan agar tidak membebankan pengusaha stesen minyak secara tidak seimbang.
“Pengusaha tidak menafikan keperluan tindakan tegas terhadap pihak yang sengaja melanggar peraturan, termasuk pengusaha sendiri sekiranya wujud niat atau pengetahuan dalam penjualan bahan api bersubsidi kepada pihak tidak layak. Namun, kebanyakan stesen kini beroperasi secara layan diri, menjadikan pengesahan status setiap kenderaan secara masa nyata tidak praktikal,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau menegaskan bahawa pengusaha bukan pegawai penguat kuasa dan tidak mempunyai kapasiti untuk memeriksa setiap kenderaan dengan terperinci, terutamanya di stesen dengan transaksi tinggi. “Tanggungjawab penguatkuasaan tidak sepatutnya dipindahkan sepenuhnya kepada pengusaha,” tambahnya.
Sebelum ini, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali, mengumumkan bahawa bermula 1 April, kedua-dua pihak iaitu stesen minyak dan pemilik kenderaan berdaftar asing boleh dikenakan tindakan undang-undang jika terbabit dalam pembelian RON95 bersubsidi.
-Advertisement-
Larangan baharu ini diperkenalkan di bawah Seksyen 6, Akta Kawalan Bekalan 1961, yang menghalang pembelian RON95 bersubsidi oleh kenderaan berdaftar asing. Sebelum ini, peraturan sedia ada (Peraturan 12A, Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974) hanya melarang penjualan petrol bersubsidi kepada kenderaan berdaftar asing.
Khairul Annuar turut menjelaskan bahawa tindakan penguatkuasaan lazimnya hanya diambil selepas kejadian tular atau rakaman CCTV tersebar. Pada ketika itu, kenderaan berdaftar asing selalunya sudah meninggalkan negara, menjadikan penguatkuasaan hampir sepenuhnya bergantung kepada pengusaha, walaupun tanpa niat atau pengetahuan mereka.
Beliau juga membangkitkan isu ketidakseimbangan penalti, di mana pengusaha berdepan denda sehingga RM1 juta hingga RM1.5 juta, sedangkan keuntungan daripada satu transaksi bahan api adalah kecil. Sebaliknya, pemandu yang sengaja menyembunyikan nombor pendaftaran atau memberikan maklumat palsu bertindak dengan niat jelas.
“Oleh itu, penalti terhadap pelaku mesti bermakna, berkadar dan mencerminkan tahap kesalahan. Dalam beberapa kes, RON95 sudah dijual pada harga pasaran atau bukan harga bersubsidi. PDAM tidak meminta penguatkuasaan diperlemahkan, sebaliknya mahukan penguatkuasaan yang adil, berkadar, praktikal dan selari dengan impak ekonomi sebenar,” katanya.
-berita harian