PDRM umum pertukaran lapan pegawai kanan, KP Selangor jadi Pengarah JSJN Bukit Aman

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengumumkan kenaikan pangkat dan pertukaran lapan pegawai kanannya berkuat kuasa 21 Julai depan.

-Advertisement-

Setiausaha PDRM, Datuk Kamaruzaman Abdullah, berkata ia turut membabitkan empat ketua polis negeri.

Beliau berkata, mendahului senarai pertukaran adalah Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan yang dilantik sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman yang baharu.

“Selain itu Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa dilantik sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman; Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad akan bertukar sebagai Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman.

“Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh pula akan memegang jawatan sebagai Timbalan Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (Gerakan/Operasi) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman,” katanya dalam kenyataan hari ini.

-Advertisement-

Beliau berkata, Timbalan Pengarah (Teknikal/Operasi) Jabatan Logistik dan Teknologi Bukit Aman, Deputi Komisioner Gilberd Philip Layang dinaikkan pangkat sebagai pengarah jabatan berkenaan dengan memangku pangkat Komisioner (CP).

Katanya, jawatan Gilberd pula akan diambil alih Ketua Penolong Pengarah (Telekomunikasi dan Sistem Maklumat) Bahagian Teknikal/Operasi Jabatan Logistik dan Teknologi Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Redzuan Abd Hamid dengan memangku pangkat Deputi Komisioner (DCP).

Ketua Penolong Pengarah Narkotik (Risikan/Perhubungan Antarabangsa) JSJN Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin akan ditukarkan sebagai Timbalan Pengarah (Penguatkuasaan/Kawalan Lalu Lintas/Pengurusan Saman) Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman dengan memangku pangkat DCP.

Penolong Pengarah (Teknologi Maklumat) Cawangan Telekomunikasi dan Sistem Maklumat Bahagian Teknikal/Operasi Jabatan Logistik dan Teknologi Bukit Aman, Asisten Komisioner Nordin Md Nor pula memegang jawatan Ketua Penolong Pengarah (Telekomunikasi dan Sistem Maklumat) Bahagian Teknikal/Operasi Jabatan Logistik dan Teknologi Bukit Aman dengan memangku Senior Asisten Komisioner.
-BeritaHarian