Pemilihan PKR: Bantahan, rayuan dinilai 2 jawatankuasa – Dr Zaliha

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Sebarang bantahan dan rayuan dikemukakan mana-mana pemimpin PKR berhubung pemilihan pada peringkat cabang, akan dinilai oleh Jawatankuasa Aduan serta Jawatankuasa Rayuan sebelum tindakan susulan dilaksanakan.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, berkata bantahan atau aduan terbabit akan dinilai oleh Jawatankuasa Aduan dipengerusikan Datuk Ahmad Kassim.

Beliau berkata, rayuan pula akan disemak oleh Jawatankuasa Rayuan yang dipengerusikan Mohd Khuzzan Abu Bakar.

“Setiap bantahan, aduan atau rayuan berkaitan pencalonan, kempen ataupun keputusan pemilihan, perlu dikemukakan secara rasmi melalui saluran JPP berserta bukti yang jelas dan bayaran yuran pemprosesan.

“Hasil siasatan dan cadangan tindakan daripada kedua-dua jawatankuasa ini kemudian akan diangkat ke peringkat JPP Induk untuk diputuskan,” katanya kepada BH, hari ini.

Setakat ini, sekurang-kurang empat pemimpin PKR yang kalah pdaa peringkat cabang dalam pemilihan sejak 11 April lalu, tampil mengemukakan rayuan menerusi JPP.

Semalam, Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir yang tewas dalam perebutan jawatan Ketua Cabang Johor Bahru, mengemukakan bantahan secara rasmi kepada JPP.

Selain Akmal Nasrullah, beberapa pemimpin lain yang kalah turut mengambil tindakan sama, termasuk Pengarah Komunikasi PKR, Lee Chean Chung (Petaling Jaya), dan Timbalan Ketua Penerangan PKR, Chua Wei Kiat (Selayang).

Ahli Parlimen Sungai Siput, Kesavan Subramaniam, juga mengambil keputusan untuk mengemukakan rayuan rasmi kepada JPP berikutan kekalahan tipisnya di Cabang Sungai Siput.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar, Nik Nazmi Nik Ahmad yang tewas dengan majoriti 68 undi kepada pengarah dan pelakon, Datuk Afdlin Shauki, memberi bayangan mahu menggunakan saluran rasmi bagi menyuarakan isu berbangkit.

Dalam pada itu, Dr Zaliha yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) menjelaskan sekiranya isu dibangkitkan itu membabitkan proses pemilihan, keputusan boleh dibuat pada peringkat JPP saja.

Sebaliknya jika membabitkan kes disiplin, beliau berkata, ia boleh dirujuk kepada Jawatankuasa Disiplin Parti.

“Isu berkaitan keanggotaan parti pula akan dirujuk kepada Pejabat Setiausaha Agung.

“Jika perlu, perkara itu juga boleh diangkat ke Majlis Pimpinan Pusat (MPP) untuk pertimbangan lanjut,” katanya.
-BeritaHarian