KOTA BHARU: Seorang pemilik restoran mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan mempamerkan logo halal tanpa kebenaran di premis miliknya di Jalan Temenggong, di sini, November tahun lalu.
-Advertisement-
Orang Kena Saman (OKS) , Lim Beng Kee, 48, membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.
Bagaimanapun, mahkamah menetapkan 13 Mei sebagai tarikh fakta kes dan hukuman.
-Advertisement-
Mengikut pertuduhan, OKS didakwa memerihalkan makanan sebagai halal tanpa memiliki apa-apa kebenaran atau perakuan sah daripada pihak berkuasa di restoran miliknya di Jalan Temenggong, di sini, jam 12.46 tengah hari pada 18 November tahun lalu.
OKS melanggar Perintah 4(1)(a) & (b) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011, Akta Perihal Dagangan 2011 yang menjadi suatu kesalahan di bawah Perintah 8 (b) Perintah dan boleh dihukum di bawah Perintah 8 (B) Perintah yang sama.
Bagi kesalahan itu, OKS boleh dikenakan denda sehingga RM100,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Muhammadi Iman Masjuri, manakala OKS tidak diwakili peguam.
Terdahulu, Muhammad Iman menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin memandangkan kesalahan yang dilakukan OKS adalah serius, manakala Beng Kee memohon jaminan dikurangkan memandangkan duitnya tidak mencukupi.
Hakim kemudian menawarkan jaminan RM8,000 terhadap OKS dengan seorang penjamin selain menetapkan 13 Mei sebagai tarikh hukuman.