Penganggur bunuh ibu, bapa dihukum penjara 80 tahun, 24 sebatan

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara 80 tahun dan 24 sebatan ke atas seorang penganggur yang mengaku bersalah membunuh ibu dan bapanya di rumah mereka di Brickfields, di sini Disember lalu.

Pada prosiding di hadapan Hakim K Muniandy, Afendi Muhammad Agus @ Muhamed Ali, 42, sebelum itu mengakui sedar dan faham dua pertuduhan serta hukuman dihadapinya.

Ditanya sama ada dia mempunyai apa-apa untuk diberitahu kepada mahkamah sebelum hukuman dibacakan, lelaki itu menjawab: “Tidak ada apa-apa”.

Afendi dituduh membunuh bapanya, Muhammad Agus @ Muhamed Ali Omar, 82, dan ibu, Darlisma Njatu Saleh, 72, di sebuah rumah di Kampung Sungai Penchala, Jalan Penchala Hilir 6, Brickfields, di sini.

Dia yang didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dituduh melakukan jenayah itu pada jam 7.10 malam dan 7.20 malam, 9 Disember 2024.

Mahkamah menetapkan Afendi menjalani hukuman penjara 40 tahun dan 12 sebatan pertuduhan bagi setiap pertuduhan, namun memerintahkan hukuman penjara berjalan serentak dari tarikh tangkap, manakala sebatan secara berasingan.

“Apapun alasan, anda tidak berhak membunuh ibu bapa atau sesiapa,” kata Muniandy sambil menegaskan, berdasarkan jenis kesalahan yang serius sehingga meragut nyawa ibu bapa, hukuman mestilah menginsafkan dan memberi pengajaran

Sebelum hukuman dibacakan, peguam, Mohd Ruzaini Zulkifli memohon Afendi hanya dipenjarakan susulan pindaan Seksyen 302 yang memperuntukkan hukuman penjara dan sebatan sebagai alternatif kepada hukuman mati.

“Kedua-dua kesalahan dilakukan di tempat dan masa yang sama terhadap dua mangsa berbeza, menyebabkan anak guam saya dituduh dengan dua pertuduhan membunuh,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Izalina Abdullah memohon hukuman mati terhadap tertuduh kerana jenayah dilakukan ke atas ibu dan bapa sendiri adalah kesalahan sangat serius.

“Akibat perbuatan pelaku, dua nyawa telah terkorban. Mereka adalah individu yang membesarkan tertuduh. Dalam kes ini kita tidak tahu apa punca sebenar tertuduh melakukan perbuatan terbabit.

“Salah seorang mangsa adalah ibu yang mengandungkan, melahirkan tertuduh. Ini (membunuh) adalah kesalahan yang amat teruk,” katanya.
-BeritaHarian