BEIJING: Penghantaran telefon pintar Apple di China merosot sembilan peratus pada suku pertama 2025 berbanding tempoh sama tahun lalu, menjadikannya satu-satunya pengeluar utama yang mencatatkan penurunan, menurut data firma penyelidikan, International Data Corporation (IDC).
-Advertisement-
Apple, yang berada di kedudukan kelima dalam pasaran telefon pintar China, hanya menghantar 9.8 juta unit iPhone pada suku berkenaan, sekali gus mengurangkan pegangan pasarannya kepada 13.7 peratus berbanding 17.4 peratus pada suku sebelumnya.
Ini merupakan suku ketujuh berturut-turut syarikat teknologi dari Amerika Syarikat itu mencatatkan penurunan penghantaran di pasaran kedua terbesar dunia tersebut.
Sebaliknya, pengeluar telefon pintar tempatan, Xiaomi, yang mendahului pasaran China, merekodkan peningkatan penghantaran sebanyak 40 peratus kepada 13.3 juta unit.
-Advertisement-
Secara keseluruhan, penghantaran telefon pintar di China meningkat 3.3 peratus pada suku pertama.
Penganalisis IDC, Will Wong, berkata struktur harga premium yang dikenakan Apple menjadi penghalang kepada syarikat itu untuk memanfaatkan inisiatif subsidi kerajaan China yang diperkenalkan pada Januari lalu.
Menerusi subsidi berkenaan, pengguna boleh mendapatkan pulangan tunai sebanyak 15 peratus bagi pembelian produk elektronik pengguna tertentu termasuk telefon pintar yang dijual pada harga bawah 6,000 yuan (RM3,619).
Namun, majoriti model iPhone dijual pada harga melebihi paras itu, sekali gus mengehadkan potensi jualan Apple ketika syarikat pesaing tempatan semakin agresif menembusi pasaran.
-BeritaHarian