LANGKAWI: Fenomena unik ‘laut terbelah’ di Tanjung Rhu di sini mencuri tumpuan apabila lebih 2,500 pengunjung hadir seawal pagi untuk menyaksikan kemunculan beting pasir sepanjang kira-kira satu kilometer yang hanya berlaku sekali setahun.
-Advertisement-
Kejadian alam semula jadi itu membolehkan orang ramai berjalan kaki merentasi laut cetek dari Pantai Tanjung Rhu ke Pulau Kelam Baya selama kira-kira satu setengah jam bermula jam 7 pagi.
Hasil tinjauan mendapati pengunjung tidak melepaskan peluang merakam gambar pelbagai hidupan marin yang kelihatan jelas di dasar laut, memandangkan kawasan berkenaan lazimnya berkedalaman sehingga 2.5 meter ketika air pasang.
Seorang pengunjung, Rosemah Abdul Hadi, 28, dari Kampar, Perak berkata, pengalaman berjalan di atas beting pasir sejauh satu kilometer itu memberinya peluang menyaksikan habitat marin dari jarak dekat buat kali pertama.
“Banyak habitat marin saya jumpa seperti tapak sulaiman, kuda laut, sotong kurita dan batu karang yang cantik serta kelihatan segar.
Percutian saya ke Langkawi selama tiga hari dua malam kali ini memang berbaloi kerana difahamkan fenomena ini hanya berlaku setahun sekali,” katanya.
Pandangan sama dikongsi Ruzita Mohd Salleh, 30, dari Tampin, Negeri Sembilan yang sanggup menempah penginapan di sebuah resort berhampiran bagi menyaksikan fenomena berkenaan dari awal hingga tamat.
-Advertisement-
“Saya antara pengunjung terawal memasuki beting pasir ini dan sempat mengambil banyak gambar habitat marin di sekitar Pulau Kelam Baya.
Antara yang ditemui termasuk gamat, kuda laut, ikan sebelah, tapak sulaiman, kerang bersaiz besar, kepah, tiram dan obor-obor. Saya hanya mengambil gambar dan tidak menyentuh haiwan itu,” katanya.
Fenomena air surut habis itu turut ditinjau Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Perancangan dan Pembangunan) Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Wan Kamarul Faisal Wan Kamardin.
Mengulas perkara itu, Wan Kamarul berkata, keunikan fenomena berkenaan mula dipromosikan sebagai produk pelancongan Langkawi sejak lima tahun lalu dan terus menerima sambutan memberangsangkan.
“Dianggarkan 2,500 pengunjung terdiri daripada penduduk tempatan dan pelancong tiba seawal jam 5.30 pagi semata-mata untuk melihat sendiri fenomena air surut habis serta berjalan di atas beting pasir sejauh satu kilometer,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Laut Malaysia (JLM) Wilayah Utara, Abd Majid Rais mengesahkan paras air laut di sekitar Langkawi mencatatkan bacaan surut sehingga 0.1 meter pada awal pagi tadi.
-BeritaHarian