Permohonan kemasukan ke IPT dibuka mulai Isnin

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Permohonan kemasukan ke universiti awam (UA), Institut Pendidikan Guru (IPG), Kolej Matrikulasi, Politeknik, Kolej Komuniti dan Institut Latihan Kemahiran Awam (ILKA) dibuka Isnin ini.

-Advertisement-

Kementerian Pendidikan dalam satu kenyataan hari ini, memaklumkan permohonan melalui sistem dalam talian itu dibuka menerusi laman sesawang http://upu.moe.gov.my mulai jam 12 tengah hari.

Menurut kenyataan itu, sebelum mengemukakan permohonan, pemohon wajib membeli Nombor Unik ID melalui Bank Simpanan Nasional (BSN) mulai 24 Februari.

-Advertisement-

“Pembelian Nombor Unik ID di BSN akan ditutup untuk jualan pada 30 Mac bagi lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) manakala 6 April bagi lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) atau setaraf,” menurut kementerian itu.

Pemohon lepasan SPM/STPM/Matrikulasi/Asasi/STAM boleh membuat pemilihan program pengajian selepas lima hari keputusan SPM/STPM diumumkan.

Sistem UPUOnline akan ditutup pada 31 Mac, jam 11.59 malam bagi lepasan SPM dan 7 April, jam 11.59 malam bagi lepasan STPM/ setaraf.

Sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut boleh menghubungi Bahagian Kemasukan Pelajar IPTA, Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan di talian 03-88708200 atau e-mel di upu@moe.gov.my atau laman sosial Facebook ‘KEMASUKANBPKPJPT[‘, Twitter ‘@TWT_UPU’ dan Instagram ‘@KEMASUKANBPKP’. – BERNAMA