Pesawat bawa 20 penumpang terhempas, semua selamat

Estimate Reading Time: < 1 minute

WASHINGTON: Beberapa mangsa yang cedera dikejarkan ke hospital semalam selepas sebuah pesawat terjun udara membawa 20 penumpang serta kru terhempas di Tennessee, Amerika Syarikat (AS).

-Advertisement-

Jurucakap bandar itu, Lyle Russell, mengesahkan tiada korban jiwa direkodkan.

Beliau berkata seramai 20 orang termasuk penumpang dan kru berada dalam pesawat jenis Dehaviland DH-6 Twin Otter ketika ia berhempas di Lapangan Terbang Wilayah Tullahoma sekitar jam 12.30 tengah hari semalam.

“Tiga orang dihantar untuk menerima rawatan perubatan menggunakan helikopter dan seorang lagi melalui pengangkutan darat ke hospital tempatan akibat kecederaan lebih serius.

“Kecederaan ringan lain dirawat oleh pasukan penyelamat di lokasi. Tiada korban jiwa,” katanya.

-Advertisement-

Selain itu, Russell berkata tiada kemudahan di darat atau di lapangan terbang yang rosak susulan kejadian itu.

Katanya, tiada juga laporan kecederaan membabitkan orang awam di kawasan sekitar.

Dalam perkembangan sama, Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) memaklumkan pihaknya sedang menyiasat nahas itu, manakala Peronda Lebuhraya Tennessee berkata anggotanya sedang membantu polis di lokasi kejadian.

Terdapat gambar dimuat naik oleh peronda lebuh raya di media sosial menunjukkan sebuah pesawat kecil berwarna putih dengan jalur biru yang bahagian hadapannya ‘terbenam’ dalam tanah, manakala ekor serta sebahagian sayap pesawat itu pula tercabut.

Kelihatan juga dalam gambar yang dikongsikan itu, beberapa kenderaan polis berada di kawasan sekitar.
-AFP
-BeritaHarian