Pesawat ‘terhempas’ di LTAPP hanya latihan simulasi, uji kesiapsiagaan tindak balas

Estimate Reading Time: 2 minutes

BAYAN LEPAS: Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) hari ini menjadi medan latihan untuk menguji tindak balas kecemasan pihak berkuasa dalam menangani situasi cemas membabitkan insiden pesawat terhempas.

-Advertisement-

Latihan diberi nama ‘X Harimau Kumbang 2025’ mengguna pakai simulasi pesawat terhempas sebelum musnah dijilat api susulan kebakaran enjin dan kegagalan sistem hidraulik dialami akibat berlanggar dengan burung di landasan LTAPP, menyaksikan lima maut dan 129 lagi cedera.

Latihan membabitkan lebih 450 anggota daripada 20 agensi kerajaan dan swasta, antara lain bertujuan menguji pelan tindak balas kecemasan serta penyelarasan tugas dalam situasi luar jangka sedemikian.

Senario latihan bermula kira-kira jam 10 pagi itu menyaksikan tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (AFRS) LTAPP tiba dalam tempoh kurang tiga minit dan hanya mengambil masa beberapa saat untuk mengawal kebakaran sebelum operasi menyelamat mangsa dilakukan.

Antara agensi terbabit ialah Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Kementerian Kesihatan (KKM), Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), dengan tempoh latihan mengambil masa kira-kira dua jam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Nermaljit Singh, berkata latihan berskala penuh ini dijalankan sepenuhnya mengikut peraturan penerbangan antarabangsa dan kebangsaan seperti ditetapkan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) dan CAAM.

-Advertisement-

Katanya, ia diadakan sekurang-kurangnya sekali pada setiap dua tahun untuk menilai masa tindak balas, pengurusan mangsa serta operasi menyelamat di lokasi kejadian.

“Ia penting untuk meningkatkan keupayaan kolektif dan koordinasi untuk bertindak balas dengan pantas antara semua pihak sekiranya berlaku kejadian sebenar seperti insiden seumpama itu yang pernah berlaku di luar negara baru-baru ini,” katanya pada sidang media hari ini.

Nermaljit berkata, latihan itu dihebahkan dan dimaklumkan lebih awal kepada orang awam menggunakan platform rasmi agensi dan jabatan berkaitan bagi mengelak kekeliruan dan penyebaran maklumat tidak tepat terutama di media sosial.

Sementara itu, Ketua Unit Operasi LTAPP, Mohd Ridzuan Ahmad Walid, memaklumkan langkah keselamatan turut diambil termasuk mengalihkan laluan penerbangan sebenar buat sementara waktu bagi memastikan tiada pesawat melalui kawasan latihan.

“Dua notis pemberitahuan dikeluarkan berkaitan laluan berlepas dan pendaratan, termasuk bahagian yang melibatkan halangan dan pelaksanaannya tidak mengganggu langsung operasi pergerakan sebenar pesawat di LTAPP,” katanya.
-BeritaHarian