Polis anti-keganasan Britain siasat serangan busur silang

Estimate Reading Time: < 1 minute

LONDON: Polis anti-keganasan di Britain sedang menyiasat satu serangan yang mengakibatkan kecederaan parah ke atas dua wanita di bandar Leeds, utara England, pada Sabtu lalu.

-Advertisement-

Polis berkata, mereka menemui sebuah crossbow (busur silang) dan senjata api di tempat kejadian.

Seorang suspek lelaki berusia 38 tahun ditahan dan dibawa ke hospital kerana dipercayai mencederakan diri sendiri.

Polis berkata mereka tidak mencari suspek lain terkait dalam serangan yang berlaku pada waktu petang, namun motif serangan masih dalam siasatan.

Penolong Ketua Polis, Carl Galvin dari Polis West Yorkshire berkata, kes itu mengejutkan.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada orang awam dan pasukan kecemasan yang membantu mangsa.

-Advertisement-

“Kami menggesa orang ramai supaya tidak membuat spekulasi secara dalam talian atau berkongsi maklumat atau rakaman yang boleh menjejaskan siasatan yang sedang dijalankan,” tambahnya.

Kes itu berlaku di tengah-tengah perdebatan mengenai keganasan dan keganasan puak pelampau di Britain, yang masih bergelut dengan tragedi pembunuhan tiga remaja perempuan di Southport, barat laut England.

Serangan menggunakan pisau pada 2024 itu mencetuskan rusuhan, yang diburukkan dengan penyebaran maklumat palsu dan hasutan oleh kumpulan pelampau kanan.

Walaupun jenayah menggunakan pisau lebih kerap berlaku di Britain berbanding serangan dengan busur silang, penggunaan senjata ini bukanlah sesuatu yang belum pernah berlaku.

Pada Julai lalu, seorang lelaki menggunakan busur silang untuk membunuh tiga wanita di London iaitu bekas pasangannya yang baru sahaja memutuskan hubungan, bersama-sama kakak dan ibu mangsa.

Satu lagi serangan busur silang, yang menyebabkan kecederaan tidak mengancam nyawa, dilaporkan berlaku di London pada Mac 2024.
-AGENSI
-BeritaHarian