Polis buru ‘Inspektor Wong, Inspektor Mazlan dan Sarjan Chong’

Estimate Reading Time: 2 minutes

ALOR SETAR: Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Kedah memburu tiga individu yang menyamar sebagai pegawai dan anggota polis bagi memperdaya mangsa membabitkan kerugian jutaan ringgit.

-Advertisement-

Ketua JSJK negeri, Superintendan Elias Omar, berkata individu dikenali sebagai Inspektor Wong, Inspektor Mazlan dan Sarjan Chong itu adalah ahli sindiket Macau Scam yang dikesan banyak menipu orang awam.

Katanya, sindiket terbabit dipercayai memperdaya seorang guru wanita berusia 51 tahun di Changlun bulan lalu, yang menyebabkan kerugian sebanyak RM333,000.
“Modus operandi yang digunakan sindiket adalah menghubungi mangsa dan memaklumkan nama atau MyKad mereka diguna dalam kegiatan pengedaran dadah dan penggubahan wang haram.
“Untuk membersihkan nama mangsa, sindiket menyambungkan talian kepada ‘pegawai polis’ yang kononnya akan membantu mangsa sebelum memberi arahan transaksi pemindahan wang dilakukan,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di sini, hari ini.
Elias berkata, taktik berkenaan akan menyebabkan mangsa menjadi takut sehingga mereka tanpa sedar bertindak memindahkan wang dalam jumlah yang banyak kepada sindike
“Sebelum ini kebanyakan mangsa adalah pesara dan warga emas, tetapi kini kita dapati ramai golongan profesional turut menjadi sasaran.
“Sepanjang tahun ini, terdapat 94 laporan kes membabitkan Macau Scam dilaporkan dan mangsa paling ramai adalah di Kota Setar, Kuala Muda, Kubang Pasu dan Kulim,” katanya.

Beliau berkata, sindiket ini sukar dikesan kerana mereka menggunakan nombor telefon balai polis atau agensi kerajaan yang ‘duplicate’ menyebabkan mangsa percaya dan tidak mengesyaki apa-apa.

-Advertisement-

“Sindiket sangat licik, mereka menggunakan nombor ‘spoofing’ dan apabila mangsa membuat semakan, nombor telefon itu memang milik balai polis tetapi sebenarnya panggilan itu dibuat menggunakan Voice Over Internet Protocol (VOIP).

“Setakat ini polis berjaya menahan 23 individu terbabit dalam sindiket Macau Scam di negeri ini, namun kegiatan ini boleh dielak sekiranya orang ramai tidak melayan panggilan sindiket,” katanya.

Jelasnya lagi, orang ramai juga dinasihatkan tidak memberi nombor Mykad dan nombor belakang kad bank kepada sesiapa bagi mengelak mereka terperangkap.

-BH