KLANG – Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Negeri Selangor merampas produk makanan sedia dimakan berasaskan daging babi dari Korea bernilai RM9,403.29 Ahad lalu.
-Advertisement-
Pengarah Maqis Negeri Selangor, Dr Tarmisal Alimin berkata, produk tanpa permit import Maqis yang sah itu dirampas di Pelabuhan Klang Utara, di sini kira-kira jam 10 pagi.
“Kesemua barang dagangan seberat 354.96 kilogram itu dirampas untuk tindakan lanjut kerana tidak mempunyai permit import yang sah ketika kemasukan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
-Advertisement-
Tarmisal berkata, perbuatan mengimport apa juga jenis keluaran pertanian tanpa permit import yang sah daripada Maqis adalah suatu kesalahan mengikut Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728].
“Jika sabit kesalahan, boleh dihukum mengikut Seksyen 11(3) Akta yang sama dan jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.-Sinar Harian